First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat pada 10 Oktober lalu menolak permohonan Persatuan Bolasepak Kelantan untuk mendapatkan lesen yang akan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam Liga Malaysia 2019.    

Kenyataan rasmi dari FAM menyebut Kelantan FA merupakan satu-satunya pasukan Liga Super 2018 yang ditolak permohonan mereka kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Sebagai makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Keputusan FIB menolak permohonan Kelantan FA tidaklah mengejutkan kerana mereka diketahui dihimpit pelbagai masalah dalaman musim ini terutamanya membabitkan kewangan sehingga memaksa mereka menamatkan kontrak hampir 20 pemain sebelum pertengahan musim.

Antara pemain yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal demi mengurangkan beban kewangan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) adalah Khairul Fahmi Che Mat, Sukri Abdul Hamid, Ramadhan Hamid, Ferdinand Sinaga, Bruno Lopez, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Do Dong Hyun dan Norfarhan Muhammad (dipinjamkan ke DAR Wanderers). 

Bekas kapten Badhri Radzi dan Amiridzwan Taj Tajuddin pula digantung tidak bertali dan tidak menerima gaji selama beberapa bulan walaupun masih berkontrak dan kekal di dalam skuad manakala S.Veenod yang menyertai Melaka United secara pinjaman masih belum menerima tunggakan gajinya.  

Kelantan bagaimanapun masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Dalam pada itu mesyuarat FIB dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif itu memutuskan lapan pasukan iaitu Kedah FA, Selangor FA, Johor Darul Ta’zim, Negeri Sembilan FA, Perak FA, Terengganu FA, Melaka United SA dan PKNS FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan dan juga AFC yang akan membolehkan mereka beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2019 jika layak. 

Dua pasukan iaitu Kuala Lumpur dan PKNP FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan sanksi. Permohonan mereka untuk mendapatkan lesen AFC bagaimanapun ditolak kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Pahang turut mendapat lesen kebangsaan dengan sanksi  tetapi tidak layak dalam permohonan Lesen AFC disebabkan mereka dikenakan penggantungan yang tidak membenarkan mereka memohon untuk Lesen AFC selama dua tahun. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -