Impian penyerang Pahang, Mamadou Sumareh belum menjadi realiti apabila gagal menghadirkan diri di sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Melaka hari ini.

Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menjelaskan, pemain berusia 27 tahun itu tidak mendapat kelulusan daripada majikannya.

“Hanya Sumareh yang belum melaporkan dan kita tunggu daripada pihak Pahang FA untuk melepaskan beliau dan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

“Saya tidak pasti, tetapi pihak pengurusan sedang berusaha untuk mendapatkan perlepasan untuk beliau,”kata Cheng Hoe.

 Maklumat lanjut bila pemain kelahiran Gambia ini akan menyertai latihan terakhir skuad kebangsaan masih belum diketahui.

 

Dengan baki masa kira kira sebulan sebelum saingan pembukaan Piala AFF 2018 bermula, Tan Cheng Hoe masih menggunakan formula untuk memberi peluang kepada pemain pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan.

Malaysia akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan terakhir sebelum terbang ke Phnom Penh bagi aksi pembukaan menentang kemboja pada 8 November depan.

Tambah Cheng Hoe lagi, senarai 23 pemain yang akan menggalas tugas selaku pemain Harimau Malaya akan dimuktamadkan selepas tamat saingan Piala Malaysia.

“Kita sudah hampir selesai untuk muktamadkan senarai. Seramai 50 pemain telah didaftarkan dan ia akan dimuktamadkan selepas Piala Malaysia.

“Saya juga berharap pemain pemain yang dipilih nanti bebas daripada kecederaan kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan persiapan pasukan,”kata Cheng Hoe lagi.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Congo untuk aksi persahabatan antarabangsa ‘A’ menentang Sri Lanka yang akan berlangsung pada 12 Oktober disusuli perlawanan menentang Republik Kyrgystan di Stadium Hang Jebat, Melaka empat hari kemudian.

Maldives akan menjadi seteru terakhir Harimau Malaya sekaligus melengkapkan perlawanan persahabatan antarabangsa terakhir pada 3 November sebelum kempen piala AFF bermula.

Cheng Hoe menggugurkan enam pemain antaranya Farizal Marlias, Nazmi Faiz Mansor, Nasir Basharudin dan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan memanggil Mohamadou Sumareh, Matthew Davis, Haziq Nazli, dan Kenny Pallraj untuk sesi latihan pusat kali ini. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -