Semakin hari semakin menjadi-jadi isu pemain mahupun jurulatih yang merungut tidak menerima pembayaran tunggakan gaji atau pampasan sepertimana yang telah diarahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia kepada pasukan-pasukan yang berkenaan.

Terbaru, bekas ketua jurulatih Terengganu City FC (TCFC), Roshadi Wahab meminta pasukan itu menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan berjumlah keseluruhan RM180,000 yang perlu diterimanya.

Jawatankuasa Status FAM sudah mengarahkan Terengganu City membuat bayaran RM60,000 (tunggakan gaji) dan RM120,000 (pampasan baki kontrak) kepadanya selewat-lewatnya pada 27 Ogos lalu.

Namun Roshadi menjelaskan sudah hampir dua bulan berlalu Terengganu City hanya membisu dan buat tidak tahu sekaligus membuatkannya hilang sabar dan berasa teraniaya.

“Bantulah saya, saya juga ada tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Jurulatih mana yang tidak terasa dianiaya selepas bekas majikan seolah-olah bersikap lepas tangan.

“Mereka langsung tidak mempedulikan arahan FAM supaya membayar tunggakan gaji dan pampasan yang perlu saya terima, saya merayu kepada pengurusan TCFC membayar segera tuntutan itu kerana saya juga perlu meneruskan kelansungan hidup,” kata Roshadi.

Roshadi yang pernah menjulang Liga Perdana dan Piala FA bersama Terengganu pada 1998 dan 1999 juga memohon FAM selaku badan induk bolasepak negara campur tangan untuk menyelesaikan tuntutan itu dengan segera.

Masalah kewangan melanda Terengganu City sememangnya diketahui ramai.

Pemain dan pegawai pasukan itu pernah dilaporkan tidak menerima gaji beberapa bulan pada awal tahun ini dan pada bulan lalu telah diarah menyelesaikan tuntutan berjumlah keseluruhan RM283,000 kepada enam pemain iaitu Azrul Hazran Amiludin Baki, Sani Anuar Kamsani, Norhafizzuan Jailani, Rahmat Hassan, Ros Muharam Wahab dan Zailan Mohamad.

Mereka bagaimanapun sedang rancak membuat persiapan musim baru dan sudahpun mengumumkan beberapa penaja yang akan terlibat bersama pasukan pada 2019.

Sebagai rekod, pasukan ‘the sharks’ akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan setelah menjuarai Piala FAM 2018 dengan menewaskan Selangor United.

Ironinya isu seperti ini bukan hanya Roshadi, tetapi terlalu ramai yang menjadi mangsa. Bekas pemain Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew turut sama meluahkan rasa kecewa dengan sikap ‘lepas tangan’ Persatuan Bolasepak Pulau Pinang yang masih belum menyelesaikan baki tunggakan gaji bulan Oktober dan November 2017 walaupun sudah setahun berlalu.

Jafri berkata pelbagai usaha sudah dibuat tetapi tidak berhasil namun dia akan tetap berjuang untuk mendapatkan haknya itu walau mungkin mengambil masa lebih panjang.

“Saya masih mengharap walaupun tunggakan hanya dua bulan kerana itu adalah hak saya hasil titik peluh di tengah padang. Biar berapa lama pun perlu menunggu, saya sanggup asalkan dapat,” kata Jafri.

Menurut Jafri, buat masa ini dia menyerahkan kes itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menanganinya selepas pintu rundingan antara Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia dengan FAP gagal mencapai kata putus.

Pada 28 Julai lalu, Jawatankuasa Status FAM mengarahkan FAP membayar tunggakan gaji berjumlah RM377,000 kepada lapan pemain.

Selain Jafri (RM28,000), FAP masih berhutang gaji dengan Mafry Balang (RM76,000), Muhamad Faizat Ghazli (RM48,000), Sani Anuar Kamsani (RM80,000), Muhammad Rafiuddin Roddin (RM60,000), K. Reuben (RM40,000), Shazalee Ramlee (RM25,000) dan Syed Adney Syed Hussein (RM20,000).

Walaupun menanggung hutang berjuta malah pemainnya bagi musim 2018 dilaporkan tidak menerima gaji berbulan-bulan, Pulau Pinang yang mendapat presiden baru pada bulan lalu sudahpun merancang persiapan untuk musim baru dan mengumumkan Ahmad Yusoff sebagai ketua jurulatih baru menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Mengambil kira dua situasi ini, apakah tindakan FAM dan Malaysia Football League dalam menangani isu ini. Tiadakah solusi untuk membantu pemain dan jurulatih yang teraniaya?

Bukan sahaja dua pasukan itu tetapi banyak pasukan lain yang turut culas dalam pembayaran hutang seperti Sarawak, Perlis, Kuantan FA dan Kelantan turut mendapat ‘manfaat’ dari kelonggaran FAM itu.

Selagi ada sikap ‘bagi muka’ seperti ini dan tiada ketegasan ditunjukkan oleh badan induk mahupun badan pengelola, maka kita tidak akan dapat melihat arena bolasepak tempatan bersih daripada isu-isu seperti ini dan FAM hanya perlu menyalahkan diri sendiri sekiranya ia merebak menjadi barah yang tidak boleh lagi dirawat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -