Malaysia gagal menamatkan ‘badi’ kekalahan di tangan India dalam lima pertemuan terakhir sepanjang saingan Piala Sultan Johor apabila tewas 1-2 pada aksi pertama edisi kelapan di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Dalam lapan pertemuan sejak saingan Piala Sultan Johor diperkenalkan pada 2011, Malaysia hanya menang sekali iaitu pada edisi pertama berkenaan dengan menewaskan India 5-1 pada aksi pusingan awal sebelum mereka bergelar juara.

Selebihnya, Malaysia seri dua kali dan tewas lima kali.

Jurulatih Malaysia, Nor Saiful Zaini menyifatkan kekalahan ke atas India sebagai pengajaran berguna buat anak buahnya memandangkan beberapa pemain baru kali pertama beraksi dalam kejohanan kompetitif.

“Ia adalah pengajaran berguna untuk pemain. Kita perlu akui pemain India lebih berpengalaman berbanding pemain kita.

“Walaupun kami kehilangan lapan pemain yang beraksi pada Olimpik Remaja di Argentina tetapi ia bukan alasan. Kami akan terus kekal fokus dan saya mahu pemain mendapat seberapa banyak pengalaman yang boleh,” katanya.

Sementara itu, jurulatih India, Jude Felix, berkata masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan barisan pemainnya biarpun berjaya melakar kemenangan pertama ke atas tuan rumah.

“Ia permulaan yang baik tetapi saya belum berpuas hati lagi dengan tahap prestasi pemain saya. Mereka sebenarnya boleh beraksi dengan lebih baik tetapi ini adalah perlawanan pertama dan kemenangan ini penting,” katanya.

Terdahulu, India berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang berbisa mereka, Harmanjit Singh minit ke-12 menerusi gol padang.

India yang menguasai perlawanan dengan gerakan berbahaya ke kubu pertahanan skuad negara berjaya meledak gol kedua pada minit ke-46 menerusi jaringan padang yang dihasilkan Shilanand Lakra.

Ketinggalan dua gol, Malaysia cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang menerusi gol padang yang dijaringkan Muhammad Zaidi minit ke-47.

Kebangkitan Malaysia dianggap sudah terlewat biarpun selepas itu lebih banyak melancarkan serangan dengan benteng pertahanan India tenang mematahkan setiap serangan dilakukan lawan mereka itu.

Malaysia akan bertemu Australia manakala India turun menentang New Zealand untuk aksi kedua, esok.

- Advertisement -