Penubuhan Akademi Terengganu Cycling Team (TSG) awal tahun depan bakal memperkukuh dan membawa pasukan itu selangkah ke hadapan dalam arena sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, akademi TSG berperanan sebagai platform bagi menyediakan atlet pelapis kepada pasukan elit TSG sekali gus meneruskan kesinambungan kecemerlangan atlet sukan tersebut yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Kami akan bermula dengan 10 pelatih yang bakal dipilih daripada bakat baru di negeri ini. Sasaran kami adalah pelatih berusia dalam lingkungan 17 hingga 21 tahun untuk menjadi pelapis kepada pasukan elit sedia ada yang purata umur antara 27 hingga 34 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TSG dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Prof Ts Dr Che Razali menandatangani MoU bagi pihak UMT manakala TSG diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Farhan Abd Wahab.

MoU tersebut bertujuan menjalin kerjasama dan mewujudkan ruang perkongsian dalam beberapa aspek seperti pengurusan sumber, fasiliti dan penyelidikan berkaitan sukan berbasikal antara UMT dan TSG.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi TSG berkata akademi itu akan mengguna pakai kepakaran UMT dalam beberapa bidang yang dilihat berkait rapat dan bakal melonjakkan prestasi atlet berbasikal ke peringkat lebih tinggi.

“Kami melihat ada keperluan kerjasama antara TSG dengan UMT seperti dalam aspek sains pemakanan, sukan dan kaunseling yang akan meningkatkan stamina serta memanfaatkan atlet. Selain itu, atlet TSG juga akan diberi peluang melanjutkan pelajaran di UMT dalam bidang tertentu,” katanya.

Mengulas mengenai projek pembinaan velodrom di Dungun, Wan Sukairi yakin projek itu akan diteruskan berdasar peruntukan besar oleh kerajaan dalam bidang sukan dalam Belanjawan 2019.

“Selepas pembentangan bajet Jumaat lalu, saya sendiri telah berbincang dengan pihak tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mereka sangat bersungguh serta positif meneruskan projek ini.

“Sebenarnya velodrom tersebut telah dipersetujui oleh pihak KBS dan perbincangan bersama konsultan telah pun berlaku. Tinggal lagi tawaran tender yang akan dibuka oleh KBS dan kami akan lihat perkembangan lebih rancak selepas ini,ā€ katanya.

— BERNAMA

- Advertisement -