Liku perjalanan Harimau Malaya dalam saingan peringkat kumpulan A Piala Suzuki AFF 2018 berakhir dengan cerita kegembiraan selepas mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir.

Aksi terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia membenam cabaran Myanmar dihadapan lebih 83 ribu penyokong setia Harimau Malay adi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Empat penyerang, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Zaquan Adha dan Norshahrul Idlan Talaha digunakan dalam perlawanan hidup mati Harimau Malaya yang jelas memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

Gandingan ini ternyata sukar untuk dibendung barisan pertahanan pelawat yang menyaksikan Malaysia lebih banyak melakukan percubaan dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Asakan itu berakhir dengan gol pertama oleh Malaysia di minit ke 26 apabila gerakan Mohamadou Sumareh disudahkan dengan aksi akrobatik namun bola menggegar palang sebelum Norshahrul Idlan Talaha mudah menolak untuk Harimau Malaya mendahului 1-0.

Jaringan tersebut nyata menyuntik semangat anak didik Tan Cheng Hoe yang terus menguasai perlawanan disusuli percubaan ke kubu Myanmar.

Sebelum tamat babak pertama, Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Safawi Rasid dijatuhkan Soe Moe Kyaw.

Kapten pasukan, Zaquan Adha tidak mensia siakan peluang untuk melebarkan kedudukan 2-0 untuk Malaysia.

Babak kedua, tidak ada tanda tanda Malaysia memperlahan rentak permainan meskipun sudah mendahului saingan dengan kedudukan yang selesa.

Sumareh nyata menjadi perancang utama Tan Cheng Hoe apabila setiap gerakannya berjaya membuka ruang dan peluang untuk Malaysia di dalam kotak penalti lawan.

Pemain kelahiran gambia ini hampir menjadikan kedudukan 3-0 di minit 67 namun rembatannya ditepis penjaga gol Kyaw Zin Htet.

Kemasukan Akhyar Rashid sekali lagi mencetus impak dibahagian serangan khususnya dan hampir menambah jaringan.

LoronganAkhyar kepada Safawi Rasid di minit ke 82 tatkala hanya perlu berdepan seorang pemain pertahanan, namun rembatannya gagal menepati sasaran.

Tiga minit menuju penamat, tuah memihak Zaquan Adha apabila percubaan pemain pertahanan lawan untuk mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti terkena muka sebelum bola melambung masuk ke dalam gawang Myanmar untuk Malaysia selesa dengan tiga gol tanpa balas.

Selepas tamat empat perlawanan, Malaysia menduduki tangga kedua dengan sembilan mata, satu mata di belakang Vietnam yang menewaskan Kemboja 3-0 di Hanoi.

Malaysia dan Vietnam akan menanti juara dan naib juara kumpula B diantara Thailand, Filipina dan Singapura yang akan beraksi pada Ahad. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -