Mahu atau tidak, hakikat yang perlu diterima, Malaysia memulakan kempen peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2018 dengan positif apabila meraih mata ke atas Kemboja di Stadium Olimpik Kebangsaan, Phnom Penh.

Norshahrul atau Mat Yo dinobat pemain terbaik kerana muncul penjaring tunggal perlawanan dan meletakkan Malaysia dikedudukan kedua dibelakang Vietnam.

Menang itu bagus, tetapi dengan apa yang telah ditonjolkan Harimau Malaya sepanjang saingan menentang Kemboja, Tan Cheng Hoe masih perlu banyak melakukan ‘kerja rumah’.

Kubu Malaysia yang dipimpin Muhd Aidil Zafuan Abd Razak, pemain pertahanan terbaik ABK 2018, Shahrul Saad, Syazwan Andik tampak goyah sepanjang 15 minit pertama perlawanan apabila barisan penyerang Kemboja beberapa kali berjaya lolos untuk melakukan percubaan.

 

 

Cheng Hoe meletakkan alasan padang sintetik sebagai salah satu faktor pemain pemain mengalami kesukaran ketika beraksi.

“Memang dalam mana mana pertandingan, perlawanan yang pertama memang agak sukar untuk dapatkan momentum. Dengan keadaan bermain di padang tiruan sedikit sebanyak menjejaskan hantaran kita.

“Tetapi pemain pemain menunjukkan satu komitmen yang tinggi pada malam ini (semalam) , akhirnya kita dapat tiga mata yang cukup penting,”kata Tan Cheng Hoe.

Elemen ‘kekeluargaan’ atau keserasian yang sering kali dikatakan samada Cheng Hoe atau Zaquan Adha selaku kapten semakin jelas dan kukuh, itupun selepas Mat Yo meledak gol,

Dari aspek lain, kemahiran individu ketika situasi satu lawan satu jelas masih belum cukup mantap secara keseluruhannya.

Perlawanan menentang Laos pada 12 November nanti mungkin bukan tugas yang terlalu sukar untuk Harimau Malaya, ditambah pasukan tersebut tewas 0-3 dalam aksi pembukaan ke atas Vietnam pastinya akan memberi tekanan yang tinggi buat skuad kendalian V Sundramoorthy ketika bertandang ke Bukit Jalil.

Cheng Hoe ketika siding media selepas perlawanan menentang Kemboja jelas menyatakan beliau memburu kemenangan dalam dua perlawanan pertama.

“Kami perlu mengekalkan momentum bagi perlawanan seterusnya untuk mendapatkan mata maksimum seperti yang saya nyatakan sebelum ini.

“Kemenangan ke atas Kemboja dan Laos amat penting bagi kami dan saya yakin pemain pemain juga mempunyai matlamat yang sama dan kami akan harunginya satu perlawanan demi satu perlawanan,”kata Cheng Hoe lagi.

‘Ujian’ sebenar mungkin ketika dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan dimana Malaysia akan bertemu Vietnam sebelum melengkapkan jadual sekaligus menentukan nasib Harimau Malaya di Bukit Jalil pada 24 November nanti ketika melayan kunjungan Myanmar.

 

 

- Advertisement -