Kekalahan di Hanoi bukan penamat bagi perjuangan Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF 2018.

Sebaliknya. Norshahrul Idlan Talaha memasang impian untuk bertemu semula dengan Vietnam yang kini mendahului kumpulan A dipentas final.

Jumaat lalu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas 0-2 kepada pendahulu kumpulan A, Vietnam sekaligus turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga dibelakang Myanmar.

 

“Saya tengok perlawanan malam ini (Jumaat) kita bermain dengan bagus. Semua pemain memberikan 100 peratus komitmen. Cuma cara Vietnam bermain, mereka berjaya mencipta dua peluang dan menjaringkan dua gol.

“Mungkin selepas ini, saya sangat berharap saya mahu bertemu kembali dengan Vietnam, saya memang tidak berpuas hati dengan mereka.

“Kita cuba fokus satu demi satu perlawanan, kutip tiga mata dengan Myanmar dan Insya Allah jika kita masuk final bertemu semula dengan Vietnam, kita akan bermain lebih berhati-hati,” kata penyerang pasukan Pahang.

Meskipun perlu berdepan misi hidup mati dalam aksi terakhir kumpulan A menentang Myanmar, Norshahrul tetap optimis Malaysia mampu mengatasi Myanmar Sabtu ini.

“Saya optimis kita akan menang dengan Myanmar dengan cara kita bermain, ia berbeza dengan corak ketika bertemu Kemboja dan Laos.

“Kita sudah bermain bagus tetapi malangnya kita kalah tetapi berdasarkan prestasi sekarang, saya yakin kita boleh menang,” kata Norshahrul.

Sementara itu, penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat turut menaruh keyakinan peluang untuk Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir masih ada.

Khairul atau ‘Apek’ mengakui wujud lompang yang memberi peluang kepada Vietnam untuk menjaringkan gol sekaligus memastikan rekod kemenangan 100 peratus kepada skuad kendalian Park Hang Seo di Stadium Kebangsaan My Dinh. – OLEH KU MOHD LUFTI

 

 

- Advertisement -