Peluang yang diberi Tan Cheng Hoe sejak dipanggil untuk menjalani sesi latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya sehinggalah dipilih secara rasmi sebagai salah seorang daripada 23 pemain tidak akan disia siakan Mohamadou Sumareh.

Seperti rakan rakan yang lain, Sumareh pastinya tidak mahu berakhir dengan kekecewaan dalam aksi sulung Piala Suzuki AFF.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih (Tan Cheng Hoe) dan pengurusan kerana memilih saya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Piala Suzuki .

“Setiap hari akan ada peningkatan dan kami semakin memahami diantara satu sama lain walaupun ada diantaranya datang dengan tempoh yang singkat dan banyak perbezaan khususnya kerjasama dapat dilihat berbanding perlawanan kedua dan ketiga,”kata Sumareh.

Tambah pemain kelahiran Gambia ini, prestasinya sepanjang sesi latihan bersama skuad kebangsaan juga menunjukkan peningkatan dan semakin memahami corak permainan yang diterapkan Tan Cheng Hoe.

 

Meskipun belum cukup cergas ketika diturunkan pertama kali di Colombo ketika menentang Sri Lanka, Sumareh berterima kasih dengan bantuan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan yang membantunya sekaligus berjaya mencetak gol untuk Malaysia.

Tuah tidak memihak Sumareh dan Harimau Malaya ketika mereka tewas kepada Kyrgyztan namun aksi persahabatan antarabangsa terakhir dengan Maldives, Sumareh tampak gandingan dengan rakan sepasukan semakin serasi.

Mengulas tentang misi di Piala AFF, Sumareh mengakui mahu melakar sejarah gemilang bersama sama Harimau Malaya dan mengharapkan beraksi di pentas final menjadi kenyataan.

“Semua orang mahu ke final dan menang. Tetapi sebelum bercakap mengenai final, kami perlu lakukan satu per satu iaitu memenangi peringkat kumpulan terlebih dahulu.

“Saya mahu menjadi juara dan itu juga impian pemain pemain lain di dalam Piala Suzuki AFF kali ini,”kata Sumareh lagi.

Malaysia akan membuka kempen peringkat kumpulan A menentang Kemboja pada Khamis 8 November di National Olympic Stadium, di Phnom Penh. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -