Piala AFF Suzuki 2018, kejohanan bolasepak terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke-12 penganjurannya akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Sejauh mana anda mengetahui tentang pencabar-pencabar di kejohanan dwitahunan ini? Kami membantu anda mengenali dengan lebih baik pasukan yang mengambil bahagian.

Kemboja

Kemboja adalah antara pasukan kecil yang mencuri perhatian ramai dan cukup dinanti-nantikan penampilan mereka dalam saingan kali ini.

Ramai yang tidak sabar mahu melihat sejauh mana impak kehadiran Keisuke Honda sebagai pengurus yang tidak dapat bersama pasukan kerana komitmen sebagai pemain di Liga Australia, dalam masa sama  persoalan mengenai prestasi dan kecergasan beberapa pemain nama besar menjadikan kekuatan Kemboja masih diragui.

Kemboja tidak pernah melangkah melepasi halangan peringkat kumpulan dalam enam penampilan mereka di pertandingan ini. Secara keseluruhan mereka beraksi 22 perlawanan bermula edisi sulung pada 1996 dan mencatat hanya dua kemenangan.

Begitupun prestasi terbaik mereka boleh dikatakan adalah pada 2016, ketika itu walaupun Kemboja tewas kesemua tiga perlawanan, tetapi peningkatan ditunjukkan berjaya membuka mata ramai bahawa Kemboja bukan lagi sebuah pasukan belasahan.  

Jika dahulunya mereka pernah diratah menjadi lauk Vietnam, Indonesia mahupun Myanmar dengan kemenangan besar, pada 2016 mereka mencetus cemas buat Malaysia sebelum tewas 2-3, memberi tentangan sengit sebelum tewas 1-3 kepada Myanmar dan hanya gol sendiri Nub Tola yang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Vietnam.

Ranking dunia mereka ketika ini adalah 170, hanya satu di bawah Malaysia. Jadi adakah ini indikasi bahawa Kemboja boleh melakukan kejutan besar dan mencipta sejarah berada di kelompok empat terbaik buat kali pertama?

Mungkin tidak, meskipun Honda berjaya melakukan sedaya termampu untuk memacu prestasi mereka, ia tetap kelihatan sukar untuk Kemboja mengintai sesuatu yang luar biasa.

Tidak banyak harapan boleh diletakkan tatkala mereka diundi bersama-sama bekas juara Vietnam yang merupakan pasukan terbaik Asia Tenggara ketika ini, Malaysia juara 2010, Myanmar dan Laos.

Kemboja akan membuka kempen menentang Malaysia di Phnom Penh pada 8 November; Myanmar di Mandalay pada 12 November; Laos di Phnom Penh pada 20 November dan Vietnam di Hanoi pada 24 November.

Tetapi seperkara yang boleh membuatkan penyokong mereka tetap menaruh ekspetasi tinggi, selain Vietnam, pasukan-pasukan lain tidak begitu konsisten dan nampak sedikit goyah. Jadi seandainya mereka berhasrat menjadi ‘giant-killer’ di edisi ini, keputusan dalam dua perlawanan pertama itu adalah cukup instrumental.

Pemain tumpuan :

Thierry Chantha Bin – Chantha Bin telah menunjukkan aksi cemerlang bersama Terengganu FC dengan membantu mereka muncul naib juara Piala Malaysia baru-baru ini dan mendapat tonik tambahan apabila kontraknya disambung Terengganu bagi musim 2019. Pemain tengah ini bukan sahaja boleh berfungsi sebagai enjin tengah dan merencanakan gerakan, dalam masa sama boleh bertindak di posisi tengah bertahan dan membekalkan perlindungan tambahan kepada benteng terakhir.

Chan Vathanaka – Namanya memuncak ketika dua tahun lalu terutama ketika dia menjaringkan dua gol dalam aksi pembukaan menentang Malaysia yang melonjakkan lagi sahamnya sebagai pemain kesayangan Kemboja. Begitupun selepas siri penampilan mengecewakan di Liga Jepun dan Liga Malaysia, Vathanaka kembali tenggelam dan mungkin Piala AFF ini adalah pentas terbaik memulihkan semula sentuhannya.

 Soeuy Vissal – Soeuy bukanlah penjaga gol yang boleh dilabel terbaik, terbaik Kemboja perlu mengharap dia berada pada tahap prestasi terbaiknya mengambil kira mereka berada sekumpulan dengan pasukan yang mempunyai antara penyerang terbaik seperti Shahrel Fikri, Safawi Rasid (Malaysia), Nguyen Van Quyet, Anh Duc (Vietnam) serta Aung Thu (Myanmar). Pertahanan mereka turut perlu memainkan peranan penting dan memberikan perlindungan sebaik mungkin kepada Soeuy yang dijangka menjadi kunci utama di barisan belakang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -