Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya Piala AFF Suzuki 2018, kejohanan bolasepak terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke-12 penganjuran.

Sejauh mana anda mengetahui tentang pencabar-pencabar di kejohanan dwitahunan ini? Kami membantu anda mengenali dengan lebih baik pasukan yang mengambil bahagian.

Myanmar

Dahulunya Myanmar merupakan antara negara kuasa besar rantau Asia, mereka pernah muncul naib juara Piala Asia 1968 dan dua kali memenangi pingat emas Sukan Asia pada 1966 dan 1970.

Itu cerita dulu. Sejak kejatuhan bolasepak mereka, iaitu secara kebetulannya sekitar 1996 ketika Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) ini diperkenalkan, mereka hanya pernah melepasi halangan peringkat kumpulan dua kali dalam 11 penampilan.   

Ini termasuklah edisi dua tahun lalu ketika Myanmar menjadi tuan rumah apabila mereka mengecewakan Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B sebelum kecundang kepada Thailand.

Satu-satunya penampilan separuh akhir mereka sebelum itu adalah pada 2004 setelah mencuri tumpuan menjuarai Kumpulan B dengan mengatasi Thailand dan Malaysia. Namun langkahan mereka terhenti setelah tewas kepada Singapura.    

Di sebalik pencapaian kurang memberansangkan pernah melepasi kumpulan hanya dua kali, Myanmar pada hakikatnya bukanlah sebuah pasukan kerdil ataupun belasahan.

Mereka lebih kepada sebuah pasukan sederhana yang boleh memberikan saingan dan sekiranya berada pada prestasi terbaik, boleh menewaskan sesiapa sahaja.

Mereka bukan jenis pasukan yang secara tradisinya datang untuk sekadar menjadi pelengkap jadual saingan sebaliknya sentiasa datang dengan sasaran tertentu yang mahu dipenuhi.

Bagi edisi kali ini, Myanmar akan memulakan kempen mereka dengan menentang Kemboja pada 12 November di Mandalay; disusuli aksi menentang Laos pada 16 November di Vientiane; menentang Vietnam di Yangon pada 20 November dan aksi terakhir kumpulan menentang Malaysia di Bukit Jalil pada 24 November.

Jika diikutkan prestasi mereka sepanjang 2018, tidak banyak harapan boleh diletakkan ke atas skuad bimbingan Antoine Hey ini yang tewas lima daripada enam perlawanan terakhir, malah mereka juga gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Keputusan dua perlawanan pertama menentang Kemboja dan Laos akan memberi indikasi awal sejauh mana keupayaan mereka sama ada mampu mengulangi pencapaian 2016 atau tidak.

Pemain tumpuan :

Aung Thu – Walaupun gagal membantu pasukannya Police Tero mengelak penyingkiran namun secara keseluruhan dia boleh dikatakan mengharungi musim pertama yang cemerlang di Liga Thailand. Dia adalah penjaring ketiga terbanyak liga berkenaan dengan 11 gol. Sentuhannya di peringkat AFF sudah terbukti dan edisi kali ini adalah peluang untuk nya cuba mengukuhkan lagi reputasi.

Zaw Min Tun – Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2011 ini adalah pertaruhan utama Myanmar di barisan pertahanan dan pengalamannya cukup instrumental untuk menyekat pasukan lawan daripada menembusi Kawasan bahaya.

Maung Maung Lwin – Pemain sayap lincah ini telah memainkan peranan penting di dalam memacu kemaraan Yangon United ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN dan pastinya diharap agar dapat meneruskan rentak tersebut bersama pasukan kebangsaan. – OLEH MUHAMAMMAD AIMAN

- Advertisement -