foto FAM

 

Jaringan tunggal Norshahrul Idlan sudah cukup untuk Harimau Malaya meraih tiga mata penting ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan kumpulan A Piala Suzuki AFF malam ini.

Babak pertama menyaksikan penguasaan seimbang kedua dua pasukan. Malaysia dihidangkan sekurang kurangnya tiga peluang terbaik untuk membuka tirai gol dalam tempoh 25 minit pertama.

Namun ketumpulan penyudah selain gandingan mantap pertahanan Kemboja yang dipimpin kepten pasukan, Souey Visal menafikan hasrat Malaysia untuk mendahului saingan.

Laungan Harimau Malaya bergema di minit ke 30 apabila hantaran kapten pasukan Zaquan Adha Abdul Razak ditanduk kemas Norshahrul Idlan Talaha menewaskan penjaga gol Um Vichet untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0.

Khairul Fahmi Che Mat nyata pilihan tepat Tan Cheng Hoe untuk mengemudi gawang Malaysia apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya Kemboja dipenghujung babak pertama.

Babak kedua pula menyaksikan Malaysia terus buntu menjaringkan gol untuk menjarakkan kedudukan dengan Kemboja.

Biarpun deretan peluang hadir khususnya dipenghujung perlawanan, kedudukan 1-0 memihak Harimau Malaya kekal hingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Vietnam menerajui kumpulan selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Laos.

Dua gol terhasil dibabak pertama perlawanan, Nguyen Cong Phuong membuka tirai gol untuk pelawat di minit ke 11 sebelum Nguyen Anh Duc melebarkan kedudukan untuk Vietnam ketika masa tambahan separuh masa pertama.

Gawang Laos bolos kali ketiga, kali ini giliran Nguyen Quang Hai melakar nama selaku penjaring Vietnam untuk memastikan tiga mata penuh milik skuad kendalian Park Hang-Seo.

Kemenangan ini sekaligus meletakkan Vietnam dikedudukan teratas kumpulan A berkongsi tiga mata dengan Malaysia dibezakan menerusi jumlah gol.

Malaysia akan melayan kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, sementara Kemboja bertandang ke gelanggang lawan bertemu Myanmar dimana kedua dua perlawanan dijadual berlangsung pada 12 November. KU MOHD LUFTI 

 

- Advertisement -