Vietnam tidak akan sesekali mengambil mudah cabaran Malaysia apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium My Dinh, Hanoi pada Jumaat.

Ketua jurulatihnya, Park Hang-Seo berpendapat skuad Harimau Malaya sudah pastinya akan turun dengan motivasi tinggi susulan kejayaan meraih enam mata maksima dari dua perlawanan pertama dan tidak mahu pulang dengan tangan kosong dari Hanoi.

“Jadi mereka sudah tentunya mahu meneruskan momentum itu, mereka sedang melalui prestasi yang baik dan satu lagi kemenangan akan meletakkan mereka selesa mendahului kumpulan. Kita silap jika kita percaya pada kata-kata jurulatih mereka (Tan Cheng Hoe) bahawa Malaysia hanya mahu satu mata.

“Ia mungkin sekadar ayat untuk merendah diri tetapi saya percaya Malaysia akan sedaya upaya mahu menang di sini. Kita perlu berwaspada walaupun bermain di tempat sendiri.

“Apa sekalipun, saya boleh katakan kami telah bersedia dan tempoh satu minggu selepas menentang Laos telah digunakan sebaiknya untuk memperbaiki kelemahan terutama di bahagian pertahanan dan ketika melakukan hantaran. Saya harap kami akan bermain lebih baik dan tampilkan permainan menyerang lebih berkualiti,” kata Hang Seo.

Vietnam membuka tirai saingan kali ini dengan menewaskan Laos 3-0 pada 8 November lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah empat tahun lalu di separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 apabila jaringan daripada Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, gol sendiri Dinh Thien Tanh serta Shukor Adan membantu skuad Ong Kim Swee melakar kemenangan 4-1 seterusnya melangkah ke perlawanan akhir dengan agregat 5-4.

Vietnam atau digelar ‘the golden dragons’ bagaimanapun membalas dendam kekalahan itu dengan menewaskan Malaysia 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2016 sekaligus menyaksikan skuad negara berputih mata tersingkir awal daripada saingan.

Vietnam yang pernah muncul juara sekali pada edisi 2008 turun selaku antara pilihan utama edisi kali ini dengan reputasi hebat selaku pasukan nombor satu Asia Tenggara.

Lebih separuh daripada skuad mereka kali ini dibarisi oleh pemain-pemain skuad B-23 yang mencipta sensasi mara ke perlawanan akhir Kejuaraan AFC B-23 di China pada Januari lalu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -