Di sebalik sudah menyarung jersi skuad senior sejak berusia 23 tahun pada 2010, penampilan Zaquan Adha Abdul Radzak di Piala AFF Suzuki 2018 hanyalah kali kedua dalam kariernya.

Dia tampil buat pertama kali apabila disenaraikan dalam skuad Piala AFF Suzuki kendalian Dato’ Ong Kim Swee pada 2016, ketika usianya sudah 31 tahun.

Begitupun, dia bukanlah pemain utama ketika itu, sebaliknya lebih kepada pelengkap di dalam skuad tatkala Kim Swee lebih berminat menggunakan khidmat Amri Yahyah, Safee Sali, Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok.

Zaquan hanya membuat satu penampilah sahaja sebagai pemain gantian ketika Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam. Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan setelah menamatkan cabaran Kumpulan B di belakang Vietnam dan Myanmar.

Dalam edisi kali ini, Zaquan hadir dengan sandaran yang lebih tinggi di bahunya, bukan sahaja bakal ditugaskan sebagai penggempur utama pasukan, tetapi juga sebagai kapten pasukan.

Pemilihan Zaquan di dalam skuad ini sebenarnya tidak begitu disenangi – ramai yang meragui kredibilitinya, ramai yang mempersoal pemilihannya kerana menganggap kelebihan Zaquan Adha hanyalah kerana Tan Cheng Hoe kekurangan pilihan di barisan depan selain dia berpengalaman bermain di pentas antarabangsa bermula dengan skuad bawah 23 tahun yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009.

Malah kesukaran Cheng Hoe mengumpulkan skuad terbaiknya sepanjang tahun ini kerana beberapa isu seperti kecederaan, kepenatan pemain-pemain yang mengharungi banyak pertandingan turut memberi lebih peluang kepada Zaquan untuk membuat lebih penampilan.

Bagi Zaquan, dia tahu bukan mudah untuk puaskan hati semua, dia tahu untuk memenangi hati penyokong dia perlu membuktikannya di atas padang dan menjadikan setiap kecaman sebagai motivasi meningkatkan prestasi.  

Tahun ini, dia menjaringkan empat gol ketika Malaysia melakar kemenangan pertama selepas hampir dua tahun dalam kemenangan 7-0 ke atas Bhutan dan terbaru menjaringkan satu dalam kemenangan 3-0 ke atas Maldives awal bulan ini.    

Zaquan mahu meneruskan pula sentuhannya di Piala AFF 2018 dalam masa sama dia tahu dia berseorangan tidak boleh menjulang Harimau Malaya sebaliknya perlu sokongan semua.

“Tanggungjawab ini saya akui memang berat, tetapi saya tidak ingin mengecewakan jurulatih, rakan-rakan dan juga penyokong-penyokong semua. Saya sedar apa perlu saya lakukan, saya sedar apa harapan penyokong terhadap saya.

“Saya pasti rakan-rakan juga tahu apa tugas mereka, apa tanggungjawab mereka apabila sudah diberi kepercayaan berada dalam skuad. Apa yang penting, kita perlu bersatu dan bersama-sama mengorak langkah. Kita semua memerlukan satu sama lain dan perlu membantu satu sama lain,” ujar Zaquan yang pernah tiga kali mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament.

Malaysia yang pernah muncul juara sekali pada 2010 akan membuka kempen dengan menentang Kemboja pada Khamis dan bagi Zaquan Adha, dia berkeyakinan tinggi skuad negara akan membuka langkah dengan rentak positif.

Selepas Kemboja, Malaysia akan menentang pula Laos pada 12 November disusuli Vietnam (16 November) dan Myanmar (24 November). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -