Bintang muda Myanmar, Hlaing Bo Bo mensasarkan kemenangan ke atas Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 pada Sabtu ini.

Meskipun keputusan seri sudah memadai untuk mereka mara, Bo Bo berkata mereka tetap memburu tiga mata kerana mahu mengesahkan tempat di separuh akhir selaku juara kumpulan.

ā€œKami tidak akan bermain untuk mendapatkan satu mata dan keputusan seri, hanya tiga mata dan kemenangan sahaja yang kami fikirkan dan itu adalah objektif utama kami, kami tahu Malaysia pasukan yang kuat tetapi kami yakin boleh melakukannyaā€ katanya dipetik dari laman rasmi AFF Suzuki Cup selepas perlawanan menentang Vietnam.

Kejayaan Myanmar mengikat pasukan pilihan iaitu Vietnam seri tanpa jaringan pada Selasa menyaksikan mereka kekal mendahului peringkat kumpulan dengan tujuh mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Vietnam manakala Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata.

Dengan peningkatan dan prestasi baik ditunjukkan Myanmar ketika ini, Bo Bo berpendapat mereka telah membuktikan bahawa layak untuk dilabel sebagai pencabar kejuaraan.

ā€œSudah tentu saya sedar bahawa Thailand dan Vietnam adalah pasukan yang kuat di rantau ini dan pilihan untuk muncul juara tetapi kami telah menunjukkan apa yang kami mampu lakukan dan kualiti yang ada pada Myanmar selain daripada bagaimana berbahayanya pasukan kami,ā€ tambahnya.

Sementara itu, Bo Bo tidak ketinggalan memberikan kredit kepada penyokong yang membanjiri Stadium Thuwunna ketika aksi menentang Vietnam dan menyifatkan ianya banyak membantu melonjakkan moral pasukan.

ā€œKami telah bermain dengan sangat baik, bukan sahaja saya tetapi keseluruhan pasukan. Ia merupakan usaha berpasukan dan terima kasih kepada penyokong yang tidak putus memberikan sokongan. Sudah tentu ia tonik buat dan kami berjanji akan lakukan yang terbaik pada perlawanan akan datang dan mendapatkan mata yang diperlukan,ā€ ujar Bo Bo yang telahpun menjaringkan dua gol dalam saingan kali ini. – OLEH MUHAMMAD AIMANĀ 

- Advertisement -