Sekumpulan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang digelar ā€˜Geng 52ā€™ menyerahkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk menentukan kesahihan Kongres Luar Biasa (EGM) yang mereka adakan pada 8 November lalu.

Kongres itu mencetus kontroversi hebat apabila enggan diiktiraf oleh Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan FAS atas alasan tidak cukup korum dan tidak mengikut perlembagaan, selain berlangsung tanpa mendapat perkenan Tengku Amir sendiri.

Antara syarat sah EGM yang termaktub di dalam statut FAS adalah jumlah ahli gabungan yang hadir mestilah lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli gabungan yang berdaftar dengan FAS.

Seramai 52 daripada 96 ahli gabungan telah hadir memberi sokongan kepada EGM tersebut tetapi dilaporkan bahawa ahli gabungan berdaftar dengan FAS adalah 121, sekaligus bermakna jumlah 52 itu tidak sampai separuh untuk menjadikan EGM itu sah.

Begitupun, antara sebab mengapa ā€˜Geng 52ā€™ tetap menganggap EGM itu adalah sah kerana ketika memorandum pertama untuk memanggil EGM dihantar pada 1 Oktober jumlah ahli gabungan adalah 96, dan ketika memorandum seterusnya dihantar kepada FAS untuk menyatakan bahawa EGM akan diadakan pada 8 November jumlah ahli gabungan masih lagi 96.

ā€œMemorandum kedua dihantar pada 22 Oktober menyatakan ahli gabungan akan mengadakan EGM sendiri pada 8 November. Pada ketika itu jumlah ahli gabungan 96 yang bermakna 52 tu dah lebih daripada separuh.

ā€œKemudian pada 25 Oktober mereka meluluskan 25 ahli gabungan baru dan mendakwa EGM kita tidak sah kerana tidak cukup separuh daripada 121 sedangkan 25 kelab itu baru menjadi ahli gabungan kira-kira dua minggu sebelum EGM berlangsung.

ā€œSoalan saya, boleh ke daftar pengundi baru selepas tarikh pilihanraya diumumkan?,ā€ kata Datuk Ariffin Abdul Hamid sebagai mewakili ā€˜Geng 52ā€™ selepas menyerahkan dokumen dan bukti kepada Pesuruhjaya Sukan, Datoā€™ Zaiton Othman pada Selasa – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -