Sejak meninggalkan Johor Darul Takzim (JDT), masa depan pemain tengah Safiq Rahim antara yang hangat menjadi persoalan.

Ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju ketua pasukan paling berjaya dalam sejarah skuad harimau selatan itu yang telah menjulang pelbagai koleksi trofi selama lima musim menyarung jersi pasukan itu.

Jelas sekali, Safiq masih mempunyai auranya tatkala banyak pasukan nampaknya sedang cuba mendapatkan khidmatnya dengan senarai pasukan yang berminat dilihat bukan sahaja pasukan dalam Malaysia, tetapi juga dari negara-negara lain di Asia Tenggara.

Safiq yang juga bekas kapten kebangsaan telah menulis nama tiga negara Malaysia, Indonesia dan Thailand di ‘insta-story’nya dan ia seolah satu ‘hint’ yang jelas mengenai persoalan ke mana hala tuju kariernya selepas ini.

Jika benar itulah yang dimaksudkan nampaknya ada cubaan dari kelab-kelab Liga Thailand dan Indonesia memancing Safiq bermain di sana.

Seperti kita ketahui, Liga Thailand sudah mula serius membawa masuk pemain-pemain dari Asia Tenggara ke liga mereka. Pemain Malaysia seperti Shahrel Fikri Fauzi (Nakhon Ratchasima), Kiko Insa (Bangkok Glass) dan Curran Ferns (Sukothai FC) sama ada pernah ataupun sedang bermain di sana.

Dan pada musim hadapan, kelab-kelab dari Thailand dikhabarkan mahu menarik lebih ramai lagi pemain dari Asia Tenggara dengan Andik Vermansyah dan Evan Dimas juga sedang dikaitkan dengan perpindahan ke sana.

Jadi mungkinkah Safiq menjadi pemain terbaru berkelana ke Thailand?

Bagaimanapun Liga Indonesia juga dilihat berminat membawa Safiq ke sana.

Selepas Malaysia memenangi Piala AFF 2010 dan Sukan SEA 2011 dahulu, ramai pemain Malaysia menarik minat pasukan dari sana. Malah Safiq sendiri pernah menjadi sasaran mereka ketika itu, tetapi hanya Safee Sali sahaja yang berpindah ke sana dengan menyertai Pelita Jaya.

Dalam kalangan pasukan tempatan pula, terdapat beberapa pasukan terutama tiga pasukan Lembah Klang iaitu Selangor, PKNS Selangor dan Kuala Lumpur ada dikaitkan dengannya.

Justeru melihat kepada situasi ini, jelas sekali Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2015 ini tidak ketandusan pilihan dan pada usia 31 tahun, dia masih diyakini dapat memberi sumbangan, kreativiti dan kepakarannya masih ditagih.

Dengan segala kejuaraan domestik sudah dijulang, mungkin sebagai satu kelainan, sudah tiba masanya untuk Safiq mencuba nasib di luar negara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -