Juara bertahan Pulau Pinang  mengekalkan rekod tanpa kalah pada perlawanan pusingan awal kumpulan untuk mengesahkan tiket ke suku akhir pada saingan Berpasukan Lelaki Bawah 16 tahun Kejohanan Badminton Berpasukan Antara Negeri Bawah 16 dan 12 100PLUS yang berlangsung di Kota Bharu harii ni.

Wah Jia Wei meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan terbaik pada perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Perlis, mudah mencatat kemenangan 21-13, 21-11 ke atas Lai Jia King dalam hanya 26 minit.

Manakala pasangan beregu Goh Boon Zhe/Rayner Beh mengesahkan kemenangan Pulau Pinang  selepas mudah menundukkan pasangan Perlis Thow Ren Qin/SooWai Meng 21-11, 21-16.

Kemenangan itu meletakkan Pulau Pinang sebagai juara kumpulan manakala Sabah ke suku akhir selepas meraih kedudukan kedua.

Pilihan kedua Kedah terus mara menyertai lapan pasukan teratas dengan persembahan mantap dalam  Kumpulan B bersama sama Negeri Sembilan atau Perak pada perlawanan yang akan berlangsung di Dewan PBNK.

Saingan Kumpulan C pula nyata sengit dengan Selangor menerajui saingan merebut kedudukan teratas bersama-sama Pahang dan Sarawak.

Saingan Perempuan Bawah 16 tahun menyaksikan pasukan pilihan pertama Johor mara ke suku akhir dari  Kumpulan A selepas menumpaskan Kelantan pada perlawanan terakhir.

Hoe Shi Yun membuka mata kemenangan dengan mudah mengatasi Goo Vie Nie 21-9, 21-13  pada perseorangan pertama diikuti pasangan Dyvylya Saha-Goh Pei Kee dan pemain perseorangan kedua Myisha Khairul.

Kuala Lumpur turut mara ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan.

Selangor meloloskan diri ke suku akhir selepas menjuarai Kumpulan B   dengan tiga kemenangan mutlak mengatasi Pahang (3-0) Terengganu (3-0) dan Perlis (3-0).

Pahang, bagaimanapun berjaya menyertai Selangor ke pusingan seterusnya pada kedudukan kedua Kumpulan.

Melaka menjuarai Kumpulan D dan bersama Sabah, mara ke pusingan suku akhir esok.

Saingan Lelaki Bawah 12 tahun pula menyaksikan Pulau Pinang  terus menjadi pilihan selepas catatan dua kemenangan peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir bersama Sabah dari Kumpulan A. 

Pilihan kedua Selangor dan Kedah mara dari Kumpulan B manakala Johor menjuarai Kumpulan C  bagi membuka laluan ke suku akhir bersama Kuala Lumpur.

Pasukan bukan pilihan Melaka nyata menjadi tumpuan kali ini dan menyerlah dengan menjuarai Kumpulan D  seterusnya mara bersama Sarawak ke suku akhir.

Lebih 300 pemain dari kesemua 15 negeri bersaing pada kejohanan empat hari tajaan 100PLUS yang  menampilkan para pemain remaja terbaik negara.

Saingan suku akhir dan separuh akhir berlangsung esok (Jumaat) manakala perlawanan akhir pada Sabtu ini.

- Advertisement -