Kemenangan 6-1 dilakar Singapura ke atas Timor Leste menyaksikan pasukan itu mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata dan mempunyai peluang terbuka untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018, tetapi dengan syarat perlu menewaskan juara bertahan Thailand di Bangkok dalam aksi terakhir Ahad depan.

Penjaring hatrik pada perlawanan tersebut, Safuwan Baharudin berkata, “Peluang kini terbuka luas, ianya kita yang akan menentukan nasib sendiri sama ada terus kekal dalam saingan atau pulang awal.

“Kami mahu kekal dan untuk itu wajib menang, tiada istilah kami pergi ke sana dan dapat satu mata pun sudah berpuas hati, kami buru tiga mata dan bersedia untuk melakukannya. Buat masa ini penting kami berlatih tanpa tekanan dan bertenang.”

Sebagai rekod, Thailand sedang memimpin Kumpulan B dengan tujuh mata manakala Filipina pula di tangga kedua juga dengan tujuh mata, dipisahkan menerusi beza jaringan.

Sementara itu, tarikh 21 November 2018 pastinya tidak akan sesekali pudar dari ingatan Safuwan yang bermain mewakili Pahang dalam saingan Liga Malaysia.

Ia menjadi malam penuh gemilang buat pemain pertahanan itu apabila dia bukan sahaja menjaringkan gol pertamanya di pentas Piala AFF Suzuki, tetapi turut menjaringkan hatrik pertama dalam kariernya – baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa – ketika membantu Singapura menewaskan Timor Leste 6-1.

Malah dia juga menjadi pemain Singapura pertama menjaringkan hatrik di Piala AFF selepas Noh Alam Shah meledak tujuh gol ketika menewaskan Timor Leste 12 tahun lalu pada edisi 2007.

“Kita bermula dengan cukup baik dan dalam beberapa minit yang pertama kita sudah mencipta dua atau tiga peluang. Ianya sudah begitu lama sejak kita bermain dengan dominan dan bebas begini sepanjang 90 minit permainan. Kita melakukan kesilapan ketika melepaskan gol tetapi secara keseluruhan kita bertahan dengan lebih baik dan menyerang sebagai satu unit.

“Bagi saya secara peribadi, saya cukup gembira kerana dapat menjaringkan hatrik terutamanya di hadapan penyokong sendiri, ianya satu perasaan yang sukar digambarkan melihat stadium gegak gempita meraikan jaringan demi jaringan,” ujar Safuwan yang membuat penampilan kesebelasan utama ke-17 berturut-turut di Piala AFF sejak edisi 2010.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Kallang itu, Safuwan membuka akaun jaringan pada minit ke-12 setelah menanduk masuk hantaran Zulfahmi Ariffin dan tujuh minit kemudian menjaringkan gol keduanya dengan merembat masuk bola muntah hasil percubaan sepakan percuma.

Ihsan Fandi Ahmad kemudiannya meledak dua gol untuk kedudukan 4-1 di separuh masa pertama disusuli jaringan Faris Ramli pada minit akhir permainan sebelum Safuwan melengkapkan hatriknya menerusi tandukan cantik dari sudut sukar selepas menerima hantaran dari pemain Johor Darul Takzim, Hariss Harun.

“Selepas menjaringkan dua gol, memang saya mencuba untuk dapatkan gol ketiga, saya tidak tamak tapi saya dapat merasakan gol ketiga akan menyusul pada minit-minit akhir dan saya bersyukur ianya hadir tepat sebelum tamat perlawanan,” kata Safuwan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -