Saingan Sepaktakraw League (STL) Divisyen Satu yang memasuki hari kedua pada Sabtu menyaksikan tiga pasukan iaitu Putrajaya Cyborg, Negeri Sembilan Antlers dan Sabah Mountaineers mengekalkan rekod bersih dengan melakar kemenangan kedua pada Sabtu.

Putrajaya Cyborg diperkuatkan bekas pemain kebangsaan Zulkarnain Arif mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas Kedah Eagles.

Gandingan Zulkarnain bersama Hisyamudin Nazri dan Muslim Ramli dilihat terlalu unggul dan cukup meyakinkan apabila menang 21-11, 21-17 ke atas regu Kedah gandingan Nazirul Ikram Rozali-Zuleffendi Sumari-Effendi Mubin.

Kemenangan membolehkan Putrajaya Cyborg mendahului liga dengan kelebihan set ke atas Negeri Sembilan Antlers dan Sabah Mountaineers.

Negeri Sembilan Antlers yang menurunkan apit kiri kebangsaan Syazreenqamar Salehan bergandingan dengan Nasiruddin Manjur-Hafizul Hayazi Adnan turut tidak bermasalah untuk mencatat kemenangan kedua apabila menewaskan Labuan Drillers 2-0 (21-17, 21-14).

Manakala Sabah Mountaineers dibarisi regu Jaxon Amputong-Daud Amba-Mohammad Kahar bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Pahang Mammoth 2-1 (16-21, 21-17, 21-14). Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Pahang Mammoth.

Perlawanan lain menyaksikan regu PSM Mavericks Naqib Zabar-Aidil Syahmi Awi-Alieq Shazmer Shafira dikerah bekerja keras sebelum berjaya mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Perlis Vipers 2-1 (21-18, 22-24, 21-14).

Pendatang baru MASUM-UPM turut melakar kemenangan pertama apabila menewaskan Sarawak Hunter 21-18, 21-15. 

 

 

- Advertisement -