Negeri Sembilan Antlers menamatkan aksi minggu pertama Sepaktakraw League Divisyen Satu sebagai peneraju liga setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Sarawak Hunter 2-0 di Gem In Mall, Cyberjaya pada Ahad.

Pasukan bimbingan Syahir Nasrudin itu menang mudah 21-9 pada set pertama namun regu mereka Asyraaf Hadi-Hafizul Hayazi-Izuan Affendi dikerah bekerja keras sebelum berjaya mengesahkan kemenangan 22-20 di set kedua.

Kekalahan ketiga berturut-turut buat Sarawak Hunter menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot tatkala Negeri Sembilan Antlers mendahului liga menerusi beza set ke atas Sabah Mountaineers yang turut mencatat kemenangan ketiga dengan menundukkan Kedah Eagles.

Regu Zulhelmi Zakaria-Daud Amba-Jaxon Amputong sekali lagi tampil dengan permainan bertenaga dan tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan trio Kedah Eagles gandingan Nazirul Ikram-Zuleffendi Sumari-Effendi Mubin 2-0 (21-17, 21-10).

Pendatang baru MASUM-UPM pula mencuri tumpuan apabila mengejutkan pasukan pilihan Putrajaya Cyborg 2-0 (21-14, 21-12) untuk melonjak ke tangga ketiga liga dengan empat mata.

Kekalahan pertama buat Putrajaya Cyborg yang merupakan pendahulu hari sebelumnya menyaksikan mereka tergelincir tiga anak tangga ke kedudukan keempat liga.

Perlawanan lain menyaksikan regu Hidayat Rashid-Shahril Rosdi-Azam Abdullah membantu Labuan Drillers bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Perlis Vipers 2-1 (16-21, 21-19, 21-11).

Kemenangan itu membolehkan Labuan Drillers melonjak ke kedudukan kelima manakala Perlis Vipers berada di tangga kedua tercorot setelah tewas kesemua tiga perlawanan.

Pahang Mammoth yang tewas dua perlawanan pertama pula menamatkan minggu pertama dengan mencatat kemenangan pertama setelah menewaskan PSM Mavericks 2-1 (21-18, 11-21, 21-14).

 

Keputusan minggu pertama STL Divisyen Satu :

Negeri Sembilan Antlers mng Sarawak Hunter (21-9, 22-20)

Labuan Drillers mng Perlis Vipers (16-21, 21-19, 21-11)

Pahang Mammoth mng PSM Mavericks (21-18, 11-21, 21-14)

MASUM-UPM mng Putrajaya Cyborg (21-14, 21-12)

Sabah Mountaineers mng Kedah Eagles (21-17, 21-10)

- Advertisement -