Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatan yang disandang dalam badan induk berkenaan termasuk jawatan exco berkuat kuasa serta merta.

Bekas pengadil FIFA itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat setelah ahli keluarganya turut menerima kecaman hebat daripada netizen susulan pengadilan yang lemah oleh Suresh Jayaraman ketika aksi final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu FC (TFC) pada 27 Okt lepas.

Subkhiddin, 51, memaklumkan beliau sudah menyiapkan surat peletakan jawatannya dan akan menyerahkan surat berkenaan kepada FAM dalam tempoh terdekat.

“Bapa saya sudah meninggal dunia dan ada segelintir peminat bola sepak yang menghamburkan kata-kata kesat kepada ahli keluarga saya dalam laman sosial dan saya rasa itu sudah cukup. Saya nak sumbangkan tenaga saya kepada bola sepak Malaysia tetapi bila tidak dihargai, saya minta maaflah, itu prinsip saya.

“Netizen ini kadang-kala saya lihat turut tidak beretika ketika membuat komen di laman sosial,” katanya selepas sidang media mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengadil FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Subkhiddin turut meminta maaf kepada pengurusan FAM termasuk Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin kerana mengambil keputusan tersebut, namun menegaskan ia dibuat untuk mengelak ahli keluarganya daripada terus dikecam netizen di laman sosial.

Dalam pada itu, Subkhiddin mempertahankan tindakan beliau memilih Suresh Jayaram sebagai pengadil untuk aksi final Piala Malaysia antara Perak dan TFC, sambil menambah pemilihan pengadil berusia 30 tahun itu dibuat berdasarkan pengalaman luas dimiliki Jayaram dalam mengadili beberapa perlawanan Liga Malaysia sebelum ini.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan, mendesak Subkhiddin meletak jawatan selepas Jayaraman gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Jayaraman membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk membatalkan dua gol Perak pada aksi final Piala Malaysia yang dikatakan sebagai jaringan sah.

Perak muncul juara Piala Malaysia 2018 setelah mengatasi TFC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi penuh perlawanan.

— BERNAMA

- Advertisement -