Pemain-pemain Terengganu City yang menunggu penuh sabar keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai kes tunggakan gaji mereka menganggap alasan bahawa kes mereka tidak dapat dibincangkan pada mesyuarat berlangsung 6 Disember lalu kerana terlalu banyak kes dibincangkan, sebagai tidak boleh diterima.

Badan induk itu pada Ahad lalu mengumumkan keputusan mesyuarat tersebut namun daripada 64 keputusan yang diumumkan, hanya satu sahaja kes membabitkan Terengganu City iaitu tuntutan oleh bekas jurulatihnya Roshadi Wahab, manakala selebihnya adalah keputusan membabitkan Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (10 kes), Pulau Pinang (8 kes) dan Kuantan FA (45 kes).

Kes-kes membabitkan Terengganu City, Perlis dan Kelantan diberitakan akan dibincangkan pada mesyuarat seterusnya pada pertengahan Januari sekaligus membuatkan pemain-pemain yang mengharapkan keputusan positif terkilan.

“Pada 27 Ogos lalu, Jawatankuasa Status menerima sepenuhnya tuntutan kami, dan bagi tempoh 30 hari kepada Terengganu City untuk selesaikan tunggakan gaji. Jika gagal diselesaikan, kes akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan seterusnya. Itu FAM sendiri yang tetapkan, bukan kami yang cakap.

“Tetapi sekarang dah genap empat bulan (120 hari), jangan kata tindakan, bayangkan FAM sampai sekarang belum membincangkan kes tersebut. Sepatutnya dibincangkan ketika 6 Disember tempoh hari, mati-mati saya ingat mereka ada bincang mengenai kes kami. Ingatkan menjelang tahun baru akan ada satu perkhabaran gembira.

“Tetapi boleh pula bagi alasan tidak sempat dibincangkan sebab terlalu banyak kes, boleh pula main tangguh-tangguh, alasan yang sangat lemah dan tidak boleh diterima,” kata salah seorang pemain yang tidak mahu namanya didedahkan.

Tambahnya lagi, “Selepas ini JK Tatatertib akan bermesyuarat pada Januari, saya tak tahulah perkara ini akan selesai atau tidak. Mungkin FAM akan bagi pula tempoh 30 hari, 40 hari, 60 hari kepada Terengganu City minta mereka selesaikan tunggakan, mereka akan buat tak tahu. Kemudian nak masuk bincangkan tindakan lanjut dalam mesyuarat sekali lagi, tu tak tahu la bila, sampai 2020 pun belum tentu kami dapat hak kami.

“FAM tolonglah, sekarang dah nak 2019 tetapi kenapa sistem terlalu memberi kelonggaran kepada si penganiaya, bantulah pemain-pemain yang teraniaya ini. Saya selalu dengar mereka kata akan berusaha memperbaiki kelompongan, berusaha memastikan perkara sama tidak berulang, tetapi saya nak tanya apa sebenarnya yang dilakukan mereka. Benda ni saban tahun berulang.

“Hari ini mereka mengeluarkan kenyataan memuji pengurusan Perlis yang berjanji bayar hutang, baguslah. Tetapi ingat, hutang tetap belum dibayar, pujilah selepas semuanya habis dibayar, puji sebelum habis, semua orang boleh berjanji. Macam Terengganu City, mereka pun berjanji jugak sebelum ini, tetapi cek yang diberi pun cek tendang,” keluhnya.

Sebagai rekod, Terengganu City yang menjuarai Piala FAM musim ini dibatalkan penyertaan mereka dalam Liga Malaysia musim depan gara-gara beban kewangan kritikal dan masalah tunggakan gaji, justeru apa kaedah yang akan digunakan FAM untuk memastikan pasukan yang sudah tidak berada dalam sistem Liga Malaysia ini untuk menyelesaikan hutang mereka kekal menjadi persoalan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -