Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tampak sedikit resah pada hari kedua sesi latihan skuad kebangsaan di Bangkok selepas pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd Razak hanya berada di tepi padang susulan kecederaan.

Aidil hanya memasuki padang untuk tempoh yang singkat sebelum keluar dan berehat kerana mengadu mengalami kesakitan di bahagian kaki.

Malah, perkembangan semasa dua lagi pemain, Mohamadou Sumareh dan Muhd Syazwan Andik masih lagi dalam pemantauan.

“Kita nampak hari ini Aidil ada rasa sakit di bahagian kaki dan saya harap lagi dua hari persediaan untuk pusingan kedua menentang Thailand nanti,”kata Tan Cheng Hoe.

Tambahnya lagi, adalah penting untuk pemain pemain terus mengekal fokus sepanjang masa kerana Thailand dan Stadium Rajamangala mempunyai rekod yang cemerlang ketik peringkat kumpulan.

 

 

Thailand menang kesemua perlawanan di Stadium Rajamangala dan meledak 14 gol ketika membenam Timor Leste, Indonesia, dan Singapura.

“Memang kami barisan jurulatih sentiasa berbincang dan menganalisa perlawanan perlawanan Thailand.

“Setiap perlawanan kita menunjukkan peningkatan dan bukan merudum dan saya yakin jika setiap perlawanan prestasi meningkat saya yakin separuh akhir kedua ini pemain akan meningkatkan prestasi dan sudah tentu kita akan mendapat satu keputusan yang positif,”kata Cheng Hoe lagi.

Tambah Cheng Hoe lagi, pemain pemain sudah mampu untuk mengenal pasti kelemahan yang ada dalam pasukan Thailand berdasarkan aksi separuh akhir pertama di Bukit Jalil dan ia akan menjadi panduan untuk mengharungi baki 90 minit di Rajamangala pada Rabu.

 

 

Dalam pada itu, skuad kebangsaan yang tiba di bangkok pada petang Isnin ibarat di beri layanan ‘istimewa’ apabila padang latihan yang disediakan dalam keadaan yang tidak baik.

Beberapa kawasan di dalam padang tidak rata dan tidak mempunyai rumput, malah tiada garisan putih memaksa hanya separuh padang digunakan bagi sesi latihan pada petang Isnin

Skuad Harimau Malaya memulakan sesi latihan jam 6 petang watu tempatan di Stadium Insi Chantharasathit di dalam Universiti Kasetsart.

Ia seakan akan menggambarkan sikap sambil lewa Persatuan Bolasepak Thailand terhadap layanan yang diberikan kepada skuad kebangsaan, sedangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memastikan pasukan Gajah Perang diberi layanan yang sebaiknya ketika saingan separuh akhir pertama. 

 

- Advertisement -