Malaysia mengesahkan slot ke final Piala Suzuki AFF untuk kali keempat dalam tempoh sejak 1996 selepas menundukkan juara bertahan, Thailand menerusi peraturan jaringan ditempat lawan selepas terikat dua sama pada separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Terikat tanpa jaringan di Bukit Jalil, peluang kedua dua pasukan tampak seimbang bagi tempoh 90 minit terakhir di Stadium Rajamangala untuk menentukan siapa yang layak ke final.

Harimau Malaya tampak goyah diawal permainan apabila gagal mengawal bola selain hantaran yang lemah.

Keadaan bertambah tegang apabila pemain pertahanan Aidil Zafuan mengalamin kecederaan peha, sekaligus dibawa keluar dan digantikan dengan Muhd Irfan Zakaria.

Situasi itu nyata dimanfaatkan Thailand apabila berjaya mengucar kacirkan pertahanan Malaysia untuk membuka tirai gol di minit 18.

Berpunca tandukan Mongkol Thosakrai, keadaan kelam kabut dimanfaatkan  dengan baik pemain tengah Thitiphan Puangjan apabila tandukkannya terbias ke Irfan Zakaria sebelum menggegar gawang Malaysia.

Namun ia tidak  mematahkan semangat juang Harimau Malaya yang membalas untuk menyamakan kedudukan berselang 11 minit kemudian.

Hantaran Norshahrul Idalan Talaha dikawal kemas Muhd Syahmi Safari sebelum melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah Chatcai Budprom untuk jaringan penyamaan.

Malaysia terus mengawal permainan untuk mengikat kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama.

Percaturan Milovan Rajovic memasukkan Sumanya Purisai dibabak kedua nyata membuahkan hasil.

Minit 63, Thailand kembali didepan selepas Pansa Hembivoon memanfaatkan peluang terhidang berpunca daripada sepakan percuma Purisai.

Keceriaan itu tidka bertahan lama apabila hantaran Syamer Kutty Abba disudahkan dengan rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha di minit 70 untuk Malaysia mengikat kedudukan dua sama.

Hembivoon hampir meletakkan Thailand didepan pada minit ke 83, namun tandukannya sekadar menggegar palang Malaysia.

Debaran menanti wisel penamat bertukar genting ketika permainan memasuki masa tambahan selepas tamat 90 minit perlawanan apabila Thailand dihadiahkan sepakan penalti selepas Syahmi Safari menampan bola dengan tangan.

Insiden itu menyaksikan Syahmi dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua sekaligus bakal terlepas aksi final pertama.

Penyokong Thailand tergamam apabila penalti yang diambil penjaring terbanyak, Adisak Kaisorn melewati palang gol Malaysia sekaligus memastikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe melangkah ke perlawanan final.

Kali terakhir Malaysia melangkah ke final pada 2014, namun dikecewakan Thailand dengan keputusan aggregat 4-3.

Malaysia akan menanti pemenang diantara Vietnam dan Filipina yang akan beraksi malam ini.

 

- Advertisement -