Walaupun gagal mempertahankan kelebihan dua jaringan dan terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 pada Selasa, pengendali Vietnam Park Hang-seo tetap gembira dengan keputusan tersebut.

“Pertama sekali pemain-pemain saya telah menunjukkan satu kualiti permainan yang baik dan memberi tentangan sengit kepada Malaysia.

Kami menjaringkan dua gol dan melepaskan dua gol menerusi situasi set piece. Tetapi saya gembira, yang penting kami seri di tempat lawan dan selepas ini akan beraksi di Hanoi,” kata pengendali dari Korea Selatan dalam sidang media selepas perlawanan.

Hang-seo berjanji pasukannya akan memperbaiki kesilapan terutama di bahagian pertahanan dan tampil lebih baik dalam aksi kedua nanti.

“Kami melepaskan gol pertama menerusi set piece, kami tidak bertahan dengan baik dan kami perlu belajar untuk menghadapi situasi sedemikian dengan lebih baik selepas ini. Malah, kami juga perlu cuba untuk tidak melakukan kekasaran-kekasaran di kawasan bahaya yang hanya akan mengundang padah.”

Aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Vietnam mendahului 2-0 menerusi dua jaringan pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Nguyen Huy Hung (m-22) dan Pham Duc Huy (m-25).

Namun tandukan Shahrul Saad hasil sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-36 serta jaringan sepakan percuma Safawi di separuh masa kedua memastikan perlawanan berakhir 2-2.

Keputusan ini menyaksikan tiada kelebihan buat Malaysia sebaliknya Vietnam mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan menjelang aksi kedua di Hanoi pada 15 Disember.

Sementara itu, Hang-seo turut menyatakan rasa kagumnya dengan kebanjiran lautan penyokong Harimau Malaya yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan itu.

“Saya tidak nafikan memang sedikit bimbang dengan sorakan padu lebih 80,000 penyokong. Namun kami telah bermain dengan baik dan saya pasti suasana sama akan dapat dirasai dalam aksi di My Dinh nanti.” MUHD AIMAN

- Advertisement -