Pengendali Thailand Milovan Rajehac nyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan kegagalan pasukannya mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 setelah disingkirkan Malaysia pada aksi separuh akhir.

Thailand begitu hampir untuk membunuh impian besar skuad negara untuk mengecap aksi final apabila dihadiahkan penalti kurang seminit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Namun tendangan Adisak Kraisorn yang juga sepakan terakhir pada perlawanan timbal balik di Stadium Rajamangala itu tinggi melewati palang sekaligus menyaksikan kedudukan kekal 2-2 dan Harimau Malaya melangkah gah ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Bagi pengendali dari Serbia itu, Malaysia telah membuktikan mereka adalah pasukan lebih baik dan sememangnya layak berada di pentas final.

“Saya cukup terkilan tetapi kita pada hari ini gagal kerana kita tidak mengambil peluang kita manakala Malaysia memanfaatkannya. Tetapi inilah bolasepak, tiada siapa perlu dipersalahkan dan ianya pengalaman berguna buat pemain.

“Malaysia datang ke sini dengan satu semangat yang berbeza dan menunjukkan satu kesungguhan dan dilihat agresif, semuanya leih baik dari kita. Mereka berhak dengan kejayaan ini dan saya ucapkan mereka akan berjaya di perlawanan akhir nanti,” kata Milovan.

Pada perlawanan itu, Thailand membuka jaringan setelah Irfan Zakaria tertolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-21 namun hanya tujuh minit diperlukan Malaysia untuk mengikat kedudukan menerusi rembatan dari luar kotak penalty oleh Syahmi Safari.

Thailand merebut semula pendahuluan apabila Phansa Hemvibhoon menanduk masuk gol kedua ada minit ke-64 namun sekali lagi ianya tidak bertahan lama apabila Norshahrul Idlan Talaha melakukan voli cantik yang gagal diselamatkan penjaga gol Thailand setelah menerima hantaran Syamer Kutty Abba.

Ini adalah kali keempat Malaysia ke final setelah melakukannya pada 1996, 2010 dan 2014. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -