Kapten Harimu Malaya, Zaquan Adha Abd Razak masih belum mahu mengangkat bendera putih sebaliknya, optimis peluang untuk Malaysia meraih kemenangan di Hanoi masih ada.

Malaysia gagal mempamer aksi konsisten di Bukit Jalil Selasa lalu yang menyaksikan aksi final pertama Piala Suzuki AFF 2018 berakhir dengan keputusan seri dua sama.

Tidak mahu meluahkan atau menyembunyikan hakikat, Zaquan pastinya kecewa dengan keputusan yang terhasil, namun baginya ia bukan penamat untuk Malaysia.

“Perlawanan malam ini (kelmarin) seharusnya saya tidak perlu menyalahkan sesiapa dan pemain pemain tidak perlu menyalahkan diantara satu sama lain. Bukan mudah untuk menjadi pasukan juara.

 

 

“Tidak mustahil untuk kita menjadi juara di Vietnam. Kita perlu berfikiran positif untuk bermain disana (Hanoi),”kata Zaquan.

Beliau juga mengakui Vietnam memberi tekanan yang lebih ke atas kesebelasan Malaysia berbanding Thailand.

“Pasukan yang mahukan juara tidak mustahil akan melakukan kesilapan, tetapi perlu bertarung sehingga habis,”katanya lagi.

Tugas Zaquan dengan baki masa yang ada sebelum sepak mula timbal balik final di Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi pada Sabtu.

“Jangan berhenti jika penat, tetapi selepas semuanya selesai. Sekarang kita penat. Biar kepenatan ini dibalas dengan kemenangan. Kita perlu usaha dengan lebih keras lagi, berfikiran positif dan tidak hilang semangat ketika bermain di sana (Hanoi),”kata Zaquan lagi.

Nada yang sama disuarakan penjaga gol negara, Farizal Marlias yang turut optimis mampu melakar kejutan di Hanoi bagi aksi timbal balik final pada Sabtu.

Farizal melepaskan dua gol dalam tempoh tiga minit sekaligus meletakkan Vietnam mendahului sebelum Shahrul Saad dan Safawi Rasid memastikan kedudukan dua sama secara aggregat.

 

 

“Kita dapat kawal bola dan kita juga cepat hilang bola jadi kesilapan seperti itu menghukum kita. Jadi saya harap kita dapat perbaiki dan kaji taktikal yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kesilapan,”kata Farizal.

Farizal juga wajar diberi pujian selepas berjaya menafikan beberapa peluang terbaik Vietnam termasuk aksi satu lawan satu dengan pemain gantian Nguyen Chong Phuong.

Baki 90 minit di Stadium Kebangsaan My Dinh masih ada dan penjaga gol Johor Darul Takzim ini merasakan tidak mustahil pencapaian pada 2014 dilakar semula.

Ketika 2014, Malaysia bangkit daripada kekalahan dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadum Shah Alam apabila melakar kemenangan di separuh akhir kedua yang berlangsung di Hanoi sekaligus mengesahkan slot ke perlawanan final degan Thailand.

“Tidak mustahil sebab kita pernah lakukan sebelum ini. Kita kalah 1-2 di laman sendiri tetapi bila bermain disana kita menang 4-2…perkara itu tidak mustahil,”kata Farizal lagi

- Advertisement -