Lebih 80,000 penyokong akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam malam ini.

Kepada penyokong yang gagal mendapatkan tiket dan masih mencari ‘port’ menarik untuk turut sama merasai bahang dan suasana final, ini beberapa pilihan untuk anda. 

#1 Restoran Al-Fariz Maju

Lokasi: Seksyen 15, Bandar Baru Bangi

Merupakan sebuah restoran mamak yang beroperasi 23 jam sehari. Sering menjadi tumpuan buat peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris dan juga Champions League. Mempunyai sebuah layar skrin besar di bahagian luar untuk memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan bersama rakan-rakan. Juga terdapat bahagian berhawa dingin dengan TV skrin besar. Antara makanan yang menyelerakan sambil menonton bola disini adalah Naan, Nasi Lemak dan juga Kuey Teow Kung Fu bersama Teh O Ais Gajah.

 

#2 Restoran Ameer Ali

Lokasi: Seksyen 15, Bandar Baru Bangi

Merupakan ‘seteru’ Restoran Al-Fariz Maju, Ameer Ali terletak bertentangan dengannya. Dibuka 24 jam sehari dan menyediakan layar skrin gergasi di tepi kedainya. Menu yang disediakan di sini sepertimana kebiasaan sebuah restoran mamak namun berdekatan dengannya terdapat sebuah warung burger ‘legend’. Anda boleh memesan ‘burger cincang’ sambil menonton perlawanan Piala AFF Suzuki 2018.

 

#3 Restoran Hakim

Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam

Restoran Hakim merupakan restoran mamak yang sangat popular bagi peminat Arsenal sekitar Shah Alam. Menjadi tumpuan pelajar-pelajar daripada universiti dan kolej berdekatan.

 

 #4 Fiesta Big Screen

Lokasi: Dataran Putrajaya Presint 3, Putrajaya

Bagi yang tinggal sekitar Putrajaya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya menganjurkan Fiesta Big Screen.

Lebih menarik, program ini turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah kepada penonton yang hadir.

 

#5 Live Party AFF Suzuki Cup 2018 Final

Lokasi: Axiata Arena, Bukit Jalil

Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pula akan menganjurkan Live Party AFF Suzuki Cup 2018 Final bertempat di Axiata Arena, bersebelahan dengan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berdasarkan hebahan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kemasukan ke Axiata Arena adalah percuma dan mampu memuatkan seramai 15,000 penonton bagi menyaksikan perlawanan pada malam ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -