Setelah berpuluh percubaan sepanjang Piala AFF Suzuki 2018 gagal menepati sasaran, tendangan Safawi Rasid akhirnya buat kali pertama menerjah jaring dan ianya perlu diakui gol yang cukup penting untuk memastikan Malaysia terus kekal dalam misi memburu kejuaraan.

Sepakan percumanya pada minit ke-60 melencong cantik menewaskan Dang Van Lam untuk membantu skuad Tan Cheng Hoe bangkit mengikat kedudukan 2-2 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 itu percaya ia adalah tonik terbaik buatnya untuk meneruskan sentuhan jaringan apabila bertandang ke Hanoi 15 Disember ini seterusnya membantu Malaysia mengulangi kejayaan muncul juara pada 2010.

“Saya pernah kata rezeki itu (menjaringkan gol) akan tiba, antara lambat dengan cepat yang penting saya perlu sentiasa bekerja keras. Setiap kritikan saya ambil dari sudut positif, sekarang saya sudah menjaringkan gol pertama dan masih ada 90 minit yang terakhir untuk diharungi dalam kempen kali ini, memberikan saya lebih keyakinan.

“Yang penting kita masih kekal dalam persaingan, kita bertandang ke tempat lawan mungkin orang akan kata sukar tetapi tiada apa yang mustahil. Seperti perlawanan pertama ini kami ketinggalan dua gol dan berjaya bangkit untuk seri dengan menunjukkan kerjasama sepasukan yang luar biasa.

“Peluang tetap terbuka, Vietnam adalah pilihan tetapi jika kami bermain dengan semangat yang sama, kami boleh lakar kejutan di Hanoi nanti. Kami melakukan sedikit kesilapan di pertahanan tetapi sudah tentu dalam beberapa hari yang tinggal akan dapat perbaikinya,” kata Safawi kepada Foxsports.

Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada 2010 turun dengan keyakinan tinggi diiringi sorakan padu lebih 80,000 ‘ekor’ Harimau Malaya namun kesilapan di pertahanan yang gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Phan Van Duc disudahkan Nguyen Huy Hung untuk Vietnam mendahului 1-0 pada minit ke-22.

Tidak sampai tiga minit kemudian gawang kawalan Farizal Marlias bergegar lagi, kali ini menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Pham Duc Huy yang memberikan Vietnam kelebihan dua gol.

Shahrul Saad mengecilkan jurang jaringan pada minit ke-36 setelah menanduk masuk hantaran Syamer Kutty Abba sebelum Safawi menjaringkan gol penyamaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -