“Kemenangan menakjubkan yang akan terpahat indah di dalam memori selamanya”, demikian reaksi jurulatih, Tan Cheng Hoe setelah membimbing Harimau Malaya layak ke final Piala AFF Suzuki 2018 dengan menyingkirkan Thailand.

Kurang seminit lagi dalam masa kecederaan untuk perlawanan berakhir di Stadium Rajamangala Bangkok, kedudukan terikat 2-2 dan ianya kelebihan gol di tempat lawan buat Harimau Malaya yang akan membawa mereka ke aksi final pertama selepas kali terakhir melakukannya pada 2014.

Secara tiba-tiba, impian itu seakan menuju kehancuran apabila bola terkena tangan Syahmi Safari dan pengadil menghadiahkan tendangan penalti.

Adisak Kraisorn yang juga penjaring terbanyak kejohanan berpotensi meletakkan namanya sebagai wira dan tatkala dia menapak untuk melakukan rembatan, Farizal Marlias sudahpun tertewas apabila melayangkan badan ke kiri.

Bola bagaimanapun tidak menuju ke dalam gol sebaliknya tersasar jauh sekaligus menjadi mimpi ngeri buat seluruh penyokong Thailand yang sudah bersiap sedia meraikan kemenangan.

Menceritakan detik itu, Cheng Hoe berkata, “Saya kekal tenang dan mempunyai keyakinan bahawa penalti itu akan dapat diselamatkan oleh Farizal. Lagipun kita ada juga menonton video cara tendangan oleh Adisak dan percaya Farizal boleh melakukan sesuatu.”

Mengenai kejayaan melangkah ke final buat kali keempat dalam sejarah pertandingan dengan menyingkirkan Thailand yang juga juara bertahan, Cheng Hoe mengakui ia kejayaan yang cukup menakjubkan dan memuji barisan pemainnya kerana bermain sepertimana dirancang.

“Kita telah berjaya mengimbangi permainan dalam 45 minit pertama dan saya mengingatkan pemain untuk kekal tenang, mengekalkan penguasaan bola, fokus ketika Thailand melakukan serangan balas mahupun situasi set-piece dan itulah yang pemain-pemain lakukan. Mereka bermain penuh disiplin dan mengikut taktikal yang dirancang, ia kemenangan yang menakjubkan,” ujarnya.

Terdahulu dalam perlawanan disaksikan lebih itu, Malaysia berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talaha.

Thailand mendahului pada minit ke-21 menerusi jaringan sendiri Irfan Zakaria sebelum gol cantik Syahmi memastikan separuh masa pertama berakhir 1-1.

Phansa Hemvibhoon meletakkan Thailand kembali di depan setelah menanduk masuk menewaskan Farizal pada minit ke-64 namun ianya Norshahrul Idlan yang membawa Malaysia layak ke final menerusi voli cantik tujuh minit kemudian setelah menerima hantaran daripada Syamer Kutty Abba.

“Ia satu perjalanan yang cukup indah, untuk melangkah sebegini jauh nyata sesuatu yang sangat membanggakan. Saya harap ini memberikan pemain-pemain lebih keyakinan, terima kasih juga kepada semua penyokong dan rakyat Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah ini.”

Aksi final akan berlangsung pada 11 dan 15 Disember dengan Malaysia akan berdepan sama ada Vietnam atau Filipina yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Khamis. – OLEH  MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -