Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil pendekatan yang kurang profesional selepas mengeluarkan kenyataan media yang seakan akan memperlekehkan tuan rumah Sukan SEA ke 30.

Kenyataan media pada 18 Disember (Isnin), Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menyifatkan keputusan tuan rumah untuk menghadkan hanya dua pelumba sahaja bagi setiap negara boleh didaftarkan bagi acara lepas beramai ramai elit lelaki.

Menerusi kenyataan itu, Abu Samah menjelaskan alasan Filipina untuk menghadkan jumlah penyertaan bertujuan untuk mengurangkan kos.

Hakikatnya, cadangan mungkin boleh diutarakan, tetapi bukan dengan kritikan yang tidak membina.

Jumlah sukan, acara dan penglibatan atlet dalam temasya dwi tahunan Sukan SEA akan ditentukan oleh pihak penganjur, dalam kes ini, ia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina.

Sebagai salah satu negara peserta, tidak perlu untuk memperlekehkan kemampuan penganjur memandangkan Malaysia yang menjadi tuan rumah ketika edisi ke 29, Ogos lalu mampu untuk menganjurkan tiga acara iaitu, kriterium, lepas beramai ramai dan ujian masa berpasukan.

Acara ini mungkin hilang serinya kerana kurang penyertaan berbanding edisi edisi sebelum ini, namun ia tetap mampu untuk dilangsungkan mengikut kesesuaian dan kemampuan kerana kos untuk penganjuran perlu difikirkan.

Hanya kerana Malaysia sebagai salah satu dominasi sukan berbasikal di rantau Asia Tenggara tidak bermakna kita ‘dibenarkan’ untuk memperkecilkan negara penganjur atas alasan yang dianggap tidak relevan.

Mungkin kita terlupa ketika mana ketika menjadi tuan rumah tahun lalu, ada sukan dimanipulasi untuk memastikan kelebihan dan pingat emas berjaya digenggam.

Kini, ‘sistem’ itu digunapakai oleh penganjur lain dan ia tidak perlu dijadikan isu atau perbualan. Sebaliknya fikirkan ke hadapan bagaimana untuk mencari pengganti Azizul Hasni Awang di Sukan Komanwel, Asia, malah Sukan Olimpik serta kejohanan kejohanan seperti Piala Dunia,dan Kejuaraan Dunia.

-Tiada had pelumba dari satu negara ke Olimpik-

Dalam pada itu, kenyataan beliau; “Jika anda sertai acara lepas beramai-ramai di Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan Komanwel, jumlah penyertaan ialah empat pelumba setiap negara. Ini amalan biasa pada mana-mana kejohanan besar.” tampak bercanggah dengan peraturan dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dimana tiada had jumlah kelayakan bagi pelumba dari negara yang sama untuk beraksi di sukan Olimpik.

Kiraan kelayakan adalah berdasarkan ranking hasil kutipan mata yang diperolehi oleh individiu menerusi perlumbaan perlumbaan yang diiktiraf oleh UCI yang berlangsung setiap tahun diserata dunia.

Untuk rekod, bagi sukan Olimpik 2012, 144 perserta terlibat dimana Australia, Belgium, Jerman, Great Britain, Itali dan Sepanyol antara negara yang menghantar lima pelumba.

Manakala Malaysia ketika itu layak untuk menghantar dua pelumba dan diwakili oleh Adiq Hussaini Othman dan Amir Mustafa Rusli. 

Manakala 2016 di Rio de Janeiro, Belgium, Colombia, Great Britain, Itali dan Sepanyol mengekalkan rekod tertinggi juga dengan lima pelumba yang layak secara merit.

Sementara bagi Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun, UCI menetapkan sebanyak 128 pelumba bagi acara lebuhraya lepas beramai ramai lelaki termasuk dua kuota untuk Jepun selaku penganjur.

 

- Advertisement -