Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dikenakan 13 pertuduhan susulan siasatan dilakukan oleh Pesuruhjaya Sukan terhadap isu pemilihan pucuk pimpinan persatuan itu yang memaksa Kongres Tahunan Ke-31 ditangguhkan, dan mereka dikehendaki menjawabnya dalam masa 14 hari.

Begitupun KLFA tidak cepat melatah dan tetap tenang menghadapi 13 pertuduhan itu dan Setiausaha Agungnya, Nokman Mustaffa berkata persatuan itu akan membalas semua pertuduhan dalam tempoh diberikan.

Dalam masa sama Nokman mengharapkan Pesuruhjaya Sukan juga lebih adil di dalam membuat penilaian terhadap isu tersebut.

“Kita sudah mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan (Dato’ Zaiton Othman) dan juga pihak yang membangkitkan isu mengenai pemilihan pada Jumaat lalu, Stuart (Ramalingam) pun ada. Kita tidak bimbang dengan pertuduhan yang perlu dijawab kerana saya yakin kita tidak buat kesalahan dan berada di pihak yang betul.

“Tetapi saya harap dalam hal ini tidak ada salah guna kuasa oleh Pesuruhjaya Sukan. Jika jawapan yang diterima menimbulkan keraguan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lain termasuk mengheret kemelut ini ke Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Nokman.

Sebagai rekod, Zaiton pada 15 November lalu mengarahkan Kongres Tahunan KLFA yang sepatutnya berlangsung pada 18 November ditangguhkan bagi membolehkan siasatan dijalankan setelah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden KLFA mendakwa terdapat unsur meragukan dalam proses pencalonan bagi Jawatankuasa Eksekutif penggal 2018-2022.

Ini terutamanya selepas Rashid sendiri gagal mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk mencabar penyandang jawatan Presiden Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Rashid hanya menerima 12 pencalonan berbanding 16 pada awalnya dan ia adalah berdasarkan salinan borang pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya. MUHD AIMAN 

- Advertisement -