Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi boleh dikatakan sebagai antara pemain terbaik generasinya yang pernah menyarung jersi Kelantan.

Dalam tempoh 10 musim sejak 2008, Badhri atau dikenali sebagai Piya telah membantu Kelantan menjulang kesemua piala di peringkat domestik termasuklah menjulang treble pada 2012.

Dia diangkat sebagai salah seorang legenda bolasepak Kelantan tetapi 2018 menjadi detik hitam dalam kariernya apabila Persatuan Bolasepak Kelantan di bawah pimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan, melayannya tidak ubah seperti ‘sampah’.

Bukan sahaja disisihkan daripada pasukan dengan alasan tiada dalam perancangan, gajinya tidak dibayar walaupun masih berkontrak dan apabila bersuara meminta tunggakan gaji dijelaskan, dia dikatakan tidak menghormati kontrak.

Malah Bibi Ramjani menjelaskan Piya tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kepada media memburukkan KAFA malah menyelar Piya kurang professional dan tindakan boleh diambil ke atasnya apatah lagi kedua-dua pihak masih dalam peringkat rundingan mengenai perkara itu.

Piya bagaimanapun tidak berdiam diri sebaliknya memberikan jawapan pedas kepada kenyataan Bibi Ramjani itu.

“Kontrak saya dengan KAFA sudah tamat bulan lalu, jadi saya tidak melanggar mana-mana kontrak, saya boleh bercakap kepada sesiapa mengenai hak saya.

“Sebelum ini pun dia (Bibi Ramjani) mengumumkan tidak lagi memerlukan khidmat saya dan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) menerusi media jugak, bukannya panggil bincang dulu dengan kami. Kami tahu kami sudah tidak diperlukan pun menerusi kenyataannya kepada media.

“Mengenai gaji, kalau dia panggil saya tiada masalah untuk bincang. Dia cakap sedang runding, runding apa kalau senyap. Mengenai tunggakan gaji ini saya sudah laporkan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan harap ia akan diselesaikan dengan baik, saya cuma nak hak saya,” kata Piya.

Tambah Piya, “Sekarang ini KAFA tanya apa yang saya sumbangkan kepada mereka, masalahnya apa yang KAFA 2018 buat pada saya? Saya dapat separuh gaji pada April dan sampai ke hari ini tak dibayar gaji. Saya disisih dan tidak dibenar sertai latihan.

“Kalau kata saya tak bagi apa pada KAFA, sebelum ini saya sudah sumbangkan apa yang sepatutnya, bawa balik tiga piala untuk KAFA yang lama, tapi KAFA 2018 ini buat saya macam sampah,” ujarnya.

Sebagai rekod, Piya disisihkan daripada pasukan Kelantan ketika skuad itu dikendalikan oleh Fajr Ibrahim pada April lalu atas alasan tiada dalam perancangan, namun kontraknya tidak ditamatkan kerana dia tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan adalah tidak setimpal.

Walaupun masih berkontrak, Piya bersama-sama Amiridzwan Taj Tajuddin serta beberapa pemain lain yang mengalami nasib sama tidak dibenar menyertai latihan bersama rakan sepasukan.

Piya dan Amiridzwan kedua-duanya telah menyertai pasukan Liga FAM, Perlis untuk musim 2019.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -