foto – PKNS FC

 

PKNS FC terus memperkukuhkan senarai pemain yang akan menggalas tugas bagi musim 2019 apabila sah membawa masuk Shahrom Kalam dan bekas pemain Melaka United, R Surendran.

Shahrom tidak asing dalam saingan Liga Malaysia dan pernah  beraksi untuk Selangor (2014-2016) sebelum berhijrah ke Perak pada 2018 dan menggalas tugas selaku kapten Felcra FC musim lalu.

Shahrom Kalam dan R Surendran mengikat kontrak bersama The Red Ants selama semusim.

Terima kasih kepada pengurusan PKNS FC yang menerima saya untuk berkhidmat bersama pasukan ini. Antara sebab saya memilih pasukan ini adalah kerana kewibawaan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal.

Saya yakin dengan kemampuan saya dapat membantu PKNS FC mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan,” kata Shahrom.

Sementara itu, Mahali Jasuli,  telah bersetuju untuk menyambung kontrak semusim lagi dengan skuad The Red Ants setelah beberapa siri rundingan dengan pihak pengurusan.

“Saya ada menerima beberapa tawaran dari pasukan lain termasuk Selangor dan memerlukan masa untuk memilih pasukan. Sekembalinya saya dari umrah, saya bersetuju untuk menyambung khidmat bersama PKNS FC,” kata Mahali.

Datuk K Rajagobal dalam pada itu mengharapkan kehadiran pemain pemain senior mampu memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada pemain pemain muda untuk mengharungi musim baru yang dijangka bermula pada Februari.

“Kalau kita lihat pemain PKNS FC musim 2019 dibarisi pemain muda. Oleh itu kehadiran 3 pemain ini memang diperlukan atas dasar pengalaman luas mereka untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada pemain muda selain boleh memberi impak kepada pasukan.

“Kehadiran 3 pemain ini saya rasakan sudah cukup untuk melengkapkan kuota pemain tempatan.

“Jika perlu penambahan, saya saya akan mempertimbangkan pemain pelapis dari skuad Piala Presiden atau Piala Belia PKNS FC,”kata Datuk K Rajagobal.

Tujuh pemain yang menyertai PKNS FC telah pun diumumkan pad awal Disember antaranya Shafiq Shaharudin, Mohamad Fandi Othman dan Mohd Farhan Abu Bakar.

 

 

- Advertisement -