Peluang Felda United untuk beraksi dalam Liga Super musim 2019 masih belum terjamin andai mereka gagal memberikan penjelasan konkrit berhubung kedudukan kewangan mereka kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), susulan dakwaan pasukan itu tidak membayar gaji pemain dan pegawai pasukan sejak tiga bulan lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam menjelaskan meskipun badan induk itu tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai perkara itu, namun menjadi tanggungjawab mereka untuk mengambil inisiatif sendiri bagi merungkai segera isu-isu yang tular seperti ini supaya tidak memberi kesan kepada perjalanan liga.

“Kita hanya mendapat tahu mengenai perkara ini melalui laporan media, tetapi memandangkan ia sudah tular maka menjadi tanggungjawab FAM untuk berhubung dengan mereka untuk mengambil tahu apa sebenarnya yang berlaku dan kami tidak boleh pejam mata.

“Kita mahu tahu kedudukan kewangan mereka sama ada kukuh atau tidak, kita tidak mahu ada pasukan menarik diri di pertengahan liga. Tapi kita percaya Felda United sebuah kelab dari syarikat besar yang memiliki kewangan dari sumber yang pelbagai, kalau mereka tidak mampu sudah tentu mereka memaklumkan kepada FAM dari awal,” kata Stuart.

Ditanya jika masalah kewangan dihadapi Felda United akan menyebabkan lesen kebangsaan yang telah diluluskan kepada mereka ditarik balik, Stuart berkata isu itu tidak timbul kerana pasukan itu menerima lesen sah berdasarkan dokumen-dokumen yang diberikan sebelum 30 Jun lalu.

“Lesen tidak akan ditarik balik, masalah tunggakan gaji hanya timbul selepas lesen diluluskan dan sejak beberapa bulan lepas namun mereka perlu mengemukakan penjelasan sejauh mana komitmen untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut dan sejauh mana pula perancangan kewangan mereka untuk kekal bersaing musim depan.

Sebagai rekod, Felda United yang menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super musim 2017 terpaksa disingkirkan ke Liga Premier kerana tidak lulus syarat pelesenan kelab namun mereka mengambil inisiatif menyelesaikan segera permasalahan itu dan kembali ke kancah Liga Super dengan menjuarai Liga Premier 2018.

Begitupun sejak beberapa bulan lalu, pasukan itu dikhabarkan mengalami masalah kewangan disebabkan oleh peralihan kerajaan yang membawa kepada tunggakan gaji sejak September, selain membuat keputusan beroperasi dengan bajet terhad musim depan, lantas menyebabkan ramai pemain tonggak dan juga ketua jurulatih B.Sathiananthan angkat kaki.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -