Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) susulan isu tunggakan gaji pemain.

Laporan media tempatan, PFA sedang melaksanakan proses tunggakan gaji pemain pemain musim 2018 menerusi kaedah pembayaran yang telah dipersetujui.

Tambah Datuk Ahmad lagi, isu melibatkan tunggakan pembayaran bagi pemain pemain yang beraksi untuk musim 2016 dan 2017 tertangguh kerana tidak menerima dokumen lengkap.

Beliau nyata kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail pada semalam yang disifatkan berat sebelah sedangkan ada pasukan lain yang mengalami situasi yang sama.

PFAM hari ini mengeluarkan kenyataan balas berhubung isu ini.

Presidennya Rezal Zambry Yahya menegaskan tiada sebarang unsur untuk menjatuhkan mana mana pihak berhubung kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“PFAM tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu ini melainkan bersuara demi hak pemain.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh PFAM adalah bertujuan untuk menyampaikan suara bekas pemain Perlis yang masih belum menerima gaji mereka yang tertunggak setelah sekian lama, itupun setelah PFA mengeluarkan kenyataan bahawa isu tunggakan gaji telah selesai,”Kata Rezal.

Tambah Rezal lagi, pihak PFAM mendakwa telah menghubungi pihak PFA untuk mengadakan perbincangan, namun gagal mendapat sebarang respon dan seakan akan membisu.

PFAM mengeluarkan kenyataan selepas PFA dilihat ‘berseronok’ membawa masuk pemain pemain untuk musim 2019 sedang isu yang masih belum berkesudahan tidak diselesaikan.

“PFAM percaya, pihak PFA, termasuklah Presiden, sudah pun maklum akan hal ini, dan Exco PFAM sudah pun berusaha untuk menghubungi secara terus bagi tujuan perbincangan dan penyerahan dokumen, namun tidak mendapat apa-apa respon.

“Sikap berdiam diri inilah yang menyebabkan PFAM tampil memberi kenyataan bagi membidas kenyataan PFA yang mengatakan isu gaji sudah selesai apatah lagi melihat PFA terus menerus membuat persediaan besar bagi saingan musim hadapan,”kata Rezal lagi.

- Advertisement -