Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal yakin Akram Mahinan adalah pilihan terbaik memperkasa barisan tengah pasukannya yang rata-ratanya dibarisi pemain muda dan berharap kehadiran pemain berusia 25 tahun itu dapat menyuntik lebih keyakinan kepada cabaran pasukannya di musim baru nanti.

“Akram telah menunjukkan kualitinya bersama Harimau Malaya dan dia juga boleh bermain dalam tekanan, walau apa pun orang kata mengenainya mental dia cukup kuat, tidak mudah koyak berbanding sesetengah pemain yang cepat melatah.

“Jenis pemain ini pilihan terbaik untuk membimbing pemain muda dan bagi saya dia adalah jenis pemain yang diperlukan dalam skuad ini. Sudah tentu saya yakin dia akan membawa dimensi berbeza buat pasukan musim depan,” ujar Rajagobal.

Sebagai rekod, dalam karier seniornya, Akram yang ‘bergraduat’ dari pasukan Harimau Muda telah bermain bersama Johor Darul Takzim dari 2013 – 2016 sebelum menyertai Kedah selama dua musim bermula 2017.

Malah sepanjang tahun ini, Akram menjadi pemain kepercayaan Tan Cheng Hoe dalam skuad kebangsaan dan dia menyerlah sebagai salah seorang tonggak utama yang membantu memacu kemaraan pasukan Harimau Malaya ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang menutup tirainya minggu lalu.

Begitupun di sebalik memainkan peranan cukup cemerlang dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, ramai yang seolah tidak berpuas hati dan sehingga hari ini masih melontarkan kritikan hebat kepada bekas pemain Johor Darul Takzim dan Kedah ini.

Ia sekaligus menjadi justifikasi kepada kenyataan Rajagobal bahawa Akram mempunyai mental yang kuat dan tidak sesekali mudah tenggelam dalam tekanan.MUHD AIMAN 

- Advertisement -