Melaka United tampak mahukan keputusan yang lebih baik bagi saingan Liga Malaysia musim depan apabila membawa masuk lima pemain yang boleh dilabel mempunyai kualiti tersendiri.

Paling mencuri tumpuan, kelibat bekas pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim sah akan menyarung jersi Melaka United bagi musim depan.

Malah Melaka United turut berjaya memancing seorang lagi bekas kapten pasukan kebangsaan, Mohd Shukor Adan serta beberapa nama lain seperti, Razman Roslan, Mohd Nazrin Nawi dan Raimi Mohd Nor.

Shukor Adan beraksi untuk Felda United sejak 2014 dan membuat 162 penampilan bersama The Fighters dan menjaringkan 13 gol.

Sementara Safiq Rahim yang menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT) sejak 2013 telah membuat 105 penampilan dan menjaringkan 24 gol.

Malah, bekas pemain tengah Selangor itu juga telah menjulang kesemua trofi Liga Malaysia serta turut melakar sejarah bersama JDT apabila muncul juara Piala AFC pada 2015.

 Sementara Razman tidak disambung kontraknya bersama Selangor selepas beraksi untuk The Red Giants sejak 2016.

Presiden MU, Tuan Adly Zahari ketika sidang media, pengurusan Melaka United serius untuk membentuk pasukan untuk menjadi lebih kompetitif khususnya bagi saingan Liga Super 2019.

Liga Super musim lalu, Melaka United menamatkan saingan dikedudukan ketujuh, hanya beraksi sehingga pusingan ketiga bagi saingan Piala FA, namun gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.

 

 

- Advertisement -