Bekas penjaga gol PKNS FC Shahril Saari menjadi nama terbaru yang dikaitkan untuk direkrut ke dalam skuad serba tunggang-langgang Kelantan yang akan beraksi di Liga Premier 2019.

Kelantan yang menamatkan musim 2018 dengan menggunakan khidmat lima penjaga gol kini tidak mempunyai seorangpun pemain berpengalaman di posisi itu.

Justeru Shahril yang tidak dilanjutkan kontrak oleh PKNS FC dilihat sebagai pilihan tepat untuk mengemudi benteng terakhir pasukan The Red Warriors.

Shahril telah menampilkan aksi cemerlang bersama PKNS FC musim ini sehingga membantu skuad kendalian Datuk K.Rajagobal itu untuk menamatkan musim di tangga ketiga Liga Super malah ketangkasannya telah turut berjaya memikat Tan Cheng Hoe yang memanggilnya ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada Mac lalu.

Namun menuju ke penghujung musim penampilan penjaga gol kelahiran Terengganu itu terbatas kerana kemeruduman prestasi gara-gara kecederaan menyaksikan tempatnya dirampas oleh Zarif Irfan Hashimuddin dan Taufiq Ar Rashid Johar.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan ada rundingan berlaku di antara kedua-dua pihak namun belum ada keputusan muktamad dicapai.

“Tunggulah saya sendiri akan memaklumkan perkembangan lanjut apabila semuanya muktamad,” ujar Bibi Ramjani.

Sebagai rekod, Kelantan memulakan musim 2018 dengan menurunkan Ramadhan Hamid di gawang dan kemudiannya Khairul Fahmi Che Mat berjaya merebut semula tempatnya setelah kembali dari kecederaan.

Bagaimanapun kedua-dua pemain itu disisihkan Fajr Ibrahim atas alasan tiada dalam perancangan menyaksikan Fikri Che Soh dan penjaga gol veteran Shahrizan Ismail diberi kepercayaan selain seorang lagi penjaga gol yang dibawa masuk ketika perpindahan kedua, Faridzuean Kamaruddin.

Berakhir musim, kontrak Shahrizan tidak disambung; Faridzuean yang memainkan peranan selaku penjaga gol utama ketika saingan Piala Malaysia pula membuat keputusan tidak menerima tawaran kontrak baru dan berhijrah ke sebuah pasukan di ibu kota manakala Fikri baru sahaja dipinjamkan ke pasukan Liga FAM, Perlis.

Dalam pada itu, Bibi Ramjani turut mengesahkan Kelantan yang baru sahaja kehilangan khidmat jurulatih Yusri Che Lah yang memilih berhijrah ke Kuala Lumpur turut berminat mendapatkan khidat pemain pertahanan Piala Presiden Negeri Sembilan, Danish Haziq yang juga merupakan bekas anggota pasukan skuad bawah 19 tahun negara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -