Negeri Sembilan Antlers menyambar tiket beraksi di separuh akhir Sepaktakraw League (STL) Champions Cup setelah menewaskan Johor Tigris 2-0 dalam aksi terakhir kumpulan B di Gem in Mall Cyberjaya pada Ahad.

Kemenangan itu menyaksikan juara STL Divisyen Satu itu menamatkan aksi Kumpulan B di tangga kedua di belakang ATM Guardians yang muncul juara kumpulan setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menundukkan Perak Bison.

Meskipun mara dengan mengetepikan dua pasukan STL Premier, Negeri Sembilan Antlers sememangnya dari awal sudah dilabel berupaya melakar kejutan dalam saingan STL Champions Cup apatah lagi mereka hadir ke pertandingan ini bukan sahaja membawa pengalaman luas dua bekas pemain kebangsaan Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Syazreen Qamar Salehan malah turut diperkuatkan tekong dari Thailand Niphat Wongprasoet.

Di sebalik merehatkan Khairol Zaman dalam aksi menentang Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers dilihat masih terlalu unggul untuk disaingi apabila servis kencang dan bertenaga Niphat dilihat menjadi senjata utama mereka.

Gandingan Niphat-Syazreen-Hafizul Hayazi Adnan tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan mudah 21-15, 21-16 ke atas regu Johor Tigris, Muqlis Borhan-Hairee Haidzir-Fadzli Roslan.

“Kami bermula dengan kekalahan tetapi tidak patah semangat dan bangkit lebih kuat selepas itu untuk mencapai sasaran ke separuh akhir. Kita bermain pada potensi sebenar dan memanfaatkan dengan baik setiap kesilapan yang lawan lakukan terutamanya kita tahu bahawa mereka sedikit lemah di dalam menyambut first ball,” kata Syazreen Qamar.

Jurulatih Johor Tigris, Muhamad Ibrahim berkata pasukannya sedikit dihimpit masalah kecergasan pemain menyebabkan tidak dapat menurunkan regu terbaik dalam tiga perlawanan yang diharungi.

“Dalam STL Premier gandingan utama kita adalah Noor Azman-Muqlis-Noraizat Nordin. Tetapi masalah kecederaan dan kecergasan menyebabkan kita terpaksa menurunkan pemain-pemain berbeza dalam tiga perlawanan dan menjejaskan keserasian antara pemain. Kita sasarkan separuh akhir tetapi akur cabaran berakhir di sini.”

Dalam pada itu, ATM Guardians yang telahpun lebih awal mengesahkan tempat di separuh akhir pada Sabtu menurunkan regu simpanan iaitu Nazmi Najib-Adli Bakar-Muhaimi Che Bongsu dalam aksi terakhir menentang Perak Bison.

Mereka bagaimanapun tewas 11-22 di set pertama kepada Yus Hanif Rosli-Azwan Muhrim-Firdaus Mohamad sebelum bangkit daripada melakar kemenangan 21-16, 21-19.

Keputusan (Ahad) :

Negeri Sembilan Antlers mng Johor Tigris (2-0 : 21-15, 21-16)

ATM Guardians mng Perak Bison (2-1 : 11-22, 21-16, 21-19)

- Advertisement -