Sumareh digantung kerana kad merah ‘misteri’

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/12/sumareh-digantung-kerana-kad-merah-misteri">
Twitter
Pinterest

Pemain sayap kanan Mohamadou Sumareh melangkah ke Tahun Baru 2019 dengan perkhabaran kurang ceria apabila dikenakan penggantungan empat perlawanan bersama Harimau Malaya susulan kad merah diterimanya dalam aksi final Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam pada 15 Disember lalu.

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun badan induk itu tetap menuntut penjelasan daripada Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) pada waktu mana pemain naturalisasi dari Gambia itu dilayangkan kad merah.

Ini kerana sehingga ke saat ini, semua menyangkakan hanya Shahrul Saad seorang yang diperintah keluar padang setelah menerima kad kuning kedua pada minit akhir perlawanan yang dimenangi Vietnam 1-0 itu.

Mengikut laporan pegawai perlawanan, Sumareh menerima kad merah itu pada minit akhir kerana mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada pengadil perlawanan namun tiada siapa menyedari insiden tersebut.

Selain digantung empat aksi yang bermakna kelibatnya berkemungkinan besar tidak dapat disaksikan dalam saingan Pestabola Merdeka yang dijadual berlangsung pada Mac, Sumareh turut dikenakan denda AS$5,000.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Michael Ramalingam berkata badan induk itu akan merayu hukuman yang dikenakan itu mengambil kira Sumareh merupakan salah seorang tonggak utama Harimau Malaya yang membantu skuad negara muncul naib juara Piala AFF Suzuki tempoh hari.

Pemain Pahang berusia 24 tahun ini diberi taraf naturalisasi pada Ogos lalu dan membuat penampilan pertamanya dalam jersi Malaysia pada 12 Oktober ketika menewaskan Sri Lanka 4-1, yang mana dia turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu. MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0