Selepas Myanmar dan Thailand hilang punca dek sorakan padu ‘ekor’ Harimau Malaya, nampaknya ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo sudah mempersiap pasukannya sebaik mungkin agar dapat mengelak nasib sama menimpa pasukannya apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

“Saya tahu mengenai sambutan hebat dan luar biasa penyokong Malaysia untuk perlawanan ini tetapi kami sudah mempersiap pasukan ketika sesi latihan dan saya sudah meminta pemain untuk bertenang. Mungkin kami akan sukar berkomunikasi dengan sorakan penyokong Malaysia yang begitu kuat. Oleh itu, kami akan menggunakan catatan untuk berkomunikasi. Saya tidak rasa ianya akan menjadi masalah.

“Kekuatan utama kami adalah mempunyai ramai pemain muda yang cukup bertenaga. Tetapi mereka mungkin kurang dari segi pengalaman. Kami sudah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat pasukan. Kami juga akan mencari jalan untuk memperkuatkan bahagian pertahanan,” kata Hang-seo.

Hang-seo juga tahu biarpun pasukannya sudah menewaskan Malaysia dalam pertemuan awal mereka, dia tidak boleh terlalu yakin dan mesti berjaga-jaga dengan keupayaan bahagian serangan Malaysia.

“Kami akan berdepan pasukan Malaysia yang berbeza dalam perlawanan akhir. Mereka mesti telah melakukan persiapan rapi untuk mengenalpasti apa kelemahan kami. Tetapi kami juga telah mempersiapkan pasukan untuk mengatasinya. Pada pendapat saya, pasukan Malaysia mempunyai barisan serangan terbaik di Piala AFF Suzuki kali ini.

Ketua jurulatih yang berasal daripada Korea Selatan itu juga tidak mahu sebarang kekacauan berlaku ketika perlawanan.

“Jika ada penyokong yang menggunakan laser ketika perlawanan, AFF perlu tegas dalam perkara ini dan menghalang perkara ini daripada berlaku. Saya juga tahu sekarang musim hujan di Malaysia, tetapi pemain kami sudah bersedia untuk bermain dalam cuaca begini.”

Malaysia yang telah menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan perlu memburu bekalan selesa di laman sendiri kerana aksi timbal balik di Hanoi pada 5 Disember nanti dilihat bakal menjadi lebih sukar. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -