Penyerang skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Razak sah menyertai pasukan Liga Super Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Hijau Kuning.
 

Sesi tandatangan yang berlangsung di Alor Setar semalam  sekaligus menamatkan teka teki mengenai pasukan yang akan diwakili penyerang yang membantu skuad Harimau Malaya muncul naib juara kejohanan Piala AFF Suzuki 2018, baru-baru ini.

Ketua Unit Pasukan Liga Super Kedah merangkap Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa hadir menyaksikan majlis tersebut.

Pengalaman luas beliau di peringkat antarabangsa dapat memberi kelebihan bukan sahaja kepada pasukan, malah pemain muda yang kini bersama skuad utama.

KFA sebelum ini melantik Aidil Sharin Sahak sebagai Ketua Jurulatih Kedah untuk mengharungi Liga Malaysia musim depan.
 
Dalam pada itu, kuota pemain import Kedah sah diisi Fernando Rodriguez Ortega dari Sepanyol,  dan pemain yang beraksi di posisi pertahanan dari Brazil, Renan da Silva Alves. 

 

 

Fernando Rodriguez, berusia 31 tahun menandatangani kontrak selama setahun bersama KFA, pernah beraksi untuk kelab Sepanyol, Sevilla B sebelum berkelana ke Asia dan beraksi bersama beberapa kelab ASEAN.

Pemain ini pernah mencuri perhatian ketika beraksi cemerlang bersama kelab Filipina, Ceres-Negros FC di peringkat Piala AFC hingga menjadi juara peringkat Zon sebelum berpindah ke kelab Indonesia, Mitra Kukar.

Sementara itu, Renan, 25 tahun, pernah beraksi untuk Borneo FC di Liga Indonesia musim ini turut menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan Kedah.

Malah, ketinggiannya 1.83 meter juga mampu untuk mmembantu Kedah di posisi serangan menerusi percaturan taktikal .

8 gol yang dijaringkan ketika beraksi bersama Borneo FC musim ini membuktikan kemampuan pemain kelahiran Rio De Janeiro sekaligus memberi harapan baru kepada Kedah.

Sebelum ini Kedah telah menandatangani dua pemain import iaitu pemain pertahanan kelab Home United dari Singapura, Muhamad Shakir Hamzah dan pemain tengah dari Iraq, Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki.

 

- Advertisement -