‘Pertelingkahan’ melibatkan dua organisasi, Johor Darul Takzim dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung perpindahan Miuhd Akhyar Rashid tampak masih belum menemui jalan penyudah sehingga kini.

KFA tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun, JDT mengambil inisiatif dengan menambah jumlah bayaran pampasan kepada Kedah.

Akhyar hanya beraksi sepenuh masa dengan Kedah ketika usianya 17 tahun.

Karier Akhyar dalam arena bolasepak bermula ketika beliau berusia 14 tahun dimana beliau beraksi untuk SMK Tunku Anum yang merupakan Sekolah Sukan bagi negeri Kedah ketika itu dan beraksi di Liga Kementerian Pelajaran Malaysia.

Setahun kemudian, kariernya semakin berkembang apabila berpindah ke SMK Mergong dan mewakili Majlis Sukan Sekolah Sekolah (MSS) Kedah dan beraksi di Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 15 tahun.

Akhyar mendapat pendedahan diperingkat antarabangsa di usia 16 tahun selepas berpindah ke SMK Dato Syed Omar di Alor Setar dan beraksi bagi kategori bawah 18 tahun bersama pasukan MSSM Malaysia.

Ketika itu, Akhyar antara pemain yang terpilih untuk mewakili Malaysia ke Kejuaraan Bolasepak Sekolah Asia bawah 17 pada 2015 serta 18 tahun pada 2016. 

Pada 2017, Akhyar terus beraksi untuk pasukan MSSM Kedah Bawah 18 tahun malah, turut dipilih untuk menyertai skuad Piala Belia Kedah bawah 19 tahun sebelum diserap dalam skuad utama Kedah tahun lalu.

Hakikatnya, Akhyar ‘timbul’ atau menyerlah menerusi Program Pembangunan dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu, Liga KPM.

Tidak dinafikan juga, idea program pencarian bakat menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) yang turut dilaksanakan di seluruh negeri menerusi Program Latihan Daerah (PLD) turut menjadi agen dalam membantu Akhyar.

Samada KFA sedar atau tidak, mereka tidak boleh mengaut ‘kredit’ atau pujian hanya kerana Akhyar memulakan karier secara profesional dibawah Lang Merah.

Di mana letaknya pembangunan Akhyar yang di laung KFA?

Mungkin ada lagi pihak pihak yang turut membantu menaikkan kariernya secara tidak langsung, justeru, kalau benar KFA mahu mengambil kredit diatas ‘pengorbanan’ yang telah dilakukan, pihak pihak lain yang pernah terlibat juga wajar disenaraikan.

- Advertisement -