‘Peperangan’ yang tercetus antara Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan dan bekas kapten pasukan itu, Badhri Radzi nampaknya memasuki episod baru.

Masih lagi panas dengan kemelut mengenai isu tunggakan gaji lebih tujuh bulan dituntut Badhri ataupun mesra disapa Piya, terbaru Bibi Ramjani mencuri tumpuan apabila menyatakan bahawa dia tidak pernah menandatangani khidmat pemain itu dan ianya berlaku di luar pengetahuannya.

Sambil menjelaskan bahawa Piya tidak layak menuntut tunggakan tersebut, Bibi Ramjani mendedahkan dia daripada awal tidak menginginkan khidmat pemain berusia 36 tahun itu.

“Sebenarnya Piya ni bukan saya yang tandatangan kontrak, tetapi bila menuntut (gaji) kenapa tidak menuntut dengan mereka yang daftarkan dia. Saya sudah menghalang dari mengambil Piya (tetapi) disebabkan waktu tersebut Mat Yo (Norshahrul Idlan) yang menginginkan Piya bermain, kerana ketika itu Mat Yo bersetuju untuk datang ke Kelantan.

“Saya dah bagitahu Piya untuk tandatangan (kontrak) selepas balik dari Jepun (bersama-sama Matyo). Tetapi Piya seorang sahaja yang tandatangani kontrak itu di KAFA sedangkan saya nak Piya dan Mat Yo bersama-sama tandatangan. Jadi bila menuntut gaji kenapa tuju kepada saya.

“Kalau boleh cuba tanya kepada Piya siapa yang tandatangan kontrak dengan dia. Kalau tak tahu apa-apa (cerita sebenar) lebih baik berdiam sahaja, jaga periuk nasi sendiri. Piya sendiri pun saya dah mohon untuk pergi cari pasukan lain sejak sebelum perpindahan kedua dibuka pada April,” ujarnya.

Menerusi kenyataan ini, ia memperlihatkan betapa Bibi Ramjani tetap dengan keputusan tidak akan membayar tunggakan gaji Piya, tetapi ada beberapa perkara yang beliau tidak harus terlepas pandang.

Pertamanya, Bibi Ramjani perlu ingat bahawa kontrak ditandatangani seorang pemain adalah bersama majikannya iaitu dalam kes ini, KAFA.

Tidak kisahlah siapa yang ada, siapa yang hadir ketika kontrak itu ditandatangani, kontrak ditandatangani pemain adalah bersama KAFA dan apabila perjanjian sudah dimeterai, maka kontrak itu adalah sah bagi tempoh yang telah dipersetujui di atas kontrak.

Tidak kira juga bila kontrak itu ditandatangani – sebelum atau selepas beliau menjadi presiden – tetapi sebagai Presiden semasa KAFA, Bibi Ramjani perlu sedar bahawa segala liabiliti kewangan, hutang-piutang KAFA dari zaman pimpinan terdahulu, kini jatuh ke bahunya untuk digalas, apatah lagi dalam hal ini terang lagi bersuluh Piya menandatangani kontrak baru di bawah era pimpinannya.

Walaupun beliau cuba mengatakan ia berlaku tanpa kerelaan ia bukan sebab untuk mengatakan kontrak pemain itu tidak sah.

Keduanya, Piya tidak bermain, tidak diturunkan sejak April 2018 bukan kerana pemain itu tidak mahu, tetapi kerana jurulatih baru Fajr Ibrahim secara tiba-tiba menyisihkannya daripada pasukan dengan alasan tiada dalam perancangan.

Bukan seorang dua pemain yang menjadi mangsa, tetapi lebih dari sedozen – adakah kesemua pemain yang ditamatkan kontrak secara pra-matang pada ketika belumpun sekerat musim berlalu ini juga adalah pemain yang ditandatangani tanpa pengetahuan Bibi Ramjani?

Dalam situasi ini daripada mengeruhkan lagi keadaan dengan terus berbalah secara terbuka di media sosial dan menjadi tumpuan ramai, ada baiknya kedua-dua pihak duduk berbincang mencari solusi terbaik yang memberi ‘win-win situation’.

Piya menuntut haknya kerana dia berkontrak dengan KAFA sehingga November 2018, tetapi dia sudah tidak menerima gaji sejak April 2018, dan tindakan KAFA untuk cuba pejam mata dengan tuntutan tersebut dengan memberikan pelbagai alasan memperlihatkan seolah mereka sememangnya berada di pihak yang salah.

Semoga isu-isu ini tidak berlarutan lama apatah lagi musim baru Liga Malaysia sudah bersedia membuka tirainya.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -