Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kekal dengan keputusan tidak membuat penambahan pada pemain import, bermakna mereka hanya akan menggunakan empat pemain import sahaja bagi saingan 2019 berbanding lima yang dibenarkan.

Empat pemain tersebut adalah tiga pemain dari Brazil yang dikekalkan iaitu Gilmar Silva, Wander Luiz Junior, Leandro Dos Santos serta pemain pertahanan dari Australia Zachary Anderson.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan jurulatih Mehmet Durakovic cukup berpuas hati dengan pemain sedia ada justeru melihat tiada keperluan untuk mendapatkan pemain import baru.

“Buat masa ini tiada lagi permintaan daripada Mehmet untuk bawa masuk import baru. Lagipun saya berpendapat bermain dengan empat import pun Perak tetap berbisa kerana kita mempunyai sebuah skuad yang cukup kompeten.

“Mehmet gembira dengan peningkatan dan komitmen pemain muda dalam skuad dan mahu mengetengahkan, memberi lebih pendedahan kepada mereka.

“Kita yakin dengan pasukan yang ada ini boleh melangkah jauh, kalau ada pun tambahan pemain, mungkin ianya Shahrel Fikri yang mana pemain itu memang sudah lama berada dalam perancangan kita cuma belum dapat persetujuan.

“Kita akan berjumpa dengannya untuk berbincang bukan sahaja untuk bawa dia ke Perak, tetapi bagaimana kita boleh membantu perkembangan kariernya,” ujar Faizal dalam satu sidang media di Ipoh pada Khamis.

Dalam masa sama, Faizal menafikan keputusan tidak mengambil import baru adalah disebabkan oleh kekangan kewangan setelah Syarikat Bekalan Air Perak mengurangkan jumlah tajaan mereka kepada persatuan itu sebaliknya dalam sidang media yang sama itu memaklumkan bahawa PAFA dan PKNP FC menerima tajaan sebanyak RM30 juta untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

“Dari segi kewangan kita tiada masalah, tajaan ini adalah daripada syarikat-syarikat swasta dan bukannya daripada kerajaan negeri atau syarikat milik kerajaan (GLC) sepertimana musim-musim terdahulu. Jadi kerajaan negeri dan GLC tidak perlu mengeluarkan peruntukan yang banyak.

“Kita berharap ia dapat membantu melancarkan persediaan skuad perak untuk beraksi di kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula bulan depan. Perbelanjaannya kita sudah buat perkiraan sehingga ke final pertandingan tersebut,” jelasnya.

Sebagai rekod, Perak yang menamatkan saingan Liga Super 2018 di tangga kedua di belakang Johor Darul Takzim, mengakhiri musim dengan nota cemerlang dengan menjuarai Piala Malaysia setelah menewaskan Terengganu dalam aksi final. MUHD AIMAN 

- Advertisement -