Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali mengingatkan kepada kontraktor yang akan dipilih untuk menganjurkan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini agar berusaha untuk mencari dana daripada syarikat syarikat swasta dan tidak bergantung kepada kerajaan semata mata.

Datuk Lokman tidak menolak, bantuan masih akan disalurkan kepada kontraktor berkenaan, namun jumlah yang akan disalurkan masih dirahsiakan.

Apa yang penting, penganjuran LTdL kali ini terus dapat memberikan nilai tambah buat kerajaan dan antara yang diletak sebagai kriteria ketika pembentangan dan strategi oleh kontraktor yang mahu menjadi penganjur.

“Syarikat yang dipilih pastinya mampu untuk memberi manfaat dan nilai tambah kepada kerajaan. Kita juga melihat selain daripada penajaan, tetapi strategi syarikat syarikat ini dalam mempromosikan termasuk aspek penyiaran di peringkat antarabangsa,”kata Datuk Lokman.

Syarikat yang terpilih dijangka diumumkan dalam minggu ini sekaligus tempoh mereka hanya mempunyai masa kira kira dua bulan untuk melakukan persiapan secara menyeluruh.

Saingan LTdL 2019 dijadual bermula dari 24 Mac hingga 31 Mac melibatkan lapan peringkat perlumbaan.

- Advertisement -