foto – PAHANG FA

 

Kehadiran semula ‘orang besi’ Dickson Nwakaeme untuk menyarung jersi Pahang mencipta fenomena tersendiri apabila ratusan penyokong setia tok gajah ‘menyerbu’ gelanggang latihan pasukan itu di Taman Gelora bagi menyaksikan sendiri kelibat pemain itu buat pertama kali, pada Jumaat lalu.

Ternyata keterujaan dan ekspetasi di kalangan peminat cukup memuncak dengan ramai melihat kehadiran pemain dari Lagos, Nigeria itu sebagai mencerminkan keinginan Pahang untuk kembali menakluk arena bolasepak tanah air.

“Ia bukan tentang menang trofi, kalau nak menang trofi tanpa Dickson pun kami pernah lakukan. Tetapi lihatlah sendiri apa yang Dickson bawa, dia ada aura, satu Pahang teruja, semua nak tengok dia main, ianya mengenai bagaimana pengurusan mahu menarik penyokong, sebelum musim bermula kena ada satu x-factor dan Pahang membawakan x-factor itu kepada peminat.

“Ada pasukan dia kena beli player ikut pintu belakang untuk wujudkan x-factor, ada pasukan beli penjaring terbanyak Liga Thai, Liga Indon, keluarkan duit juta-juta, takpelah itu hak mereka. Pahang pula bawa datang semula pemain lama dan tengoklah, semua sudah tidak sabar menunggu aksinya,” kata salah seorang penyokong dipetik dari kumpulan penyokong Tok Gajah.

Dickson Nwakaeme merupakan pemain import baru yang ketiga ditandatangani Pahang bagi musim 2019 selepas Saddil Ramdani dan Herold Goullon.

Seorang lagi pemain import pasukan itu adalah Safuwan Baharudin, satu-satunya pemain import yang dikekalkan manakala Mohamadou Sumareh pula sudah bertukar status kepada pemain tempatan.

Sebagai rekod, Dickson sebelum ini pernah menjulang nama Pahang pada 2014 dan 2015 dengan membantu pasukan itu memenangi trofi Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih malah pernah beberapa kali dikaitkan dengan kepulangan semula ke bumi Kuantan dan akhirnya ia menjadi realiti.

Sementara itu Dollah Salleh optimis kehadiran pemain yang kini berusia 33 tahun dapat memperkasa sentuhan penyudah pasukannya meskipun dia sudah setahun dia tidak bermain selepas kontraknya bersama Angres SCO berakhir.

“Apa yang dapat saya lihat pada sesi latihan pertama, (Dickson) Nwakaeme tidak menghadapi masalah bersama rakan sepasukan dan tiada perlu dikhuatirkan.

“Saya juga percaya dia dapat menyesuaikan diri untuk memastikan Tok Gajah bersedia mengharungi Liga M yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.

“Kehadirannya membantu menguatkan bahagian serangan kerana pada aksi pramusim di Thailand baru-baru ini, kami tidak menurunkan penyerang,” katanya.

Untuk saingan musim baru Liga Malaysia, Pahang dijadual Liga Super menentang Kuala Lumpur pada Jumaat, 1 Februari di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -