Govers: Kekalahan petanda kepada sesuatu lebih baik

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/01/govers-kekalahan-petanda-kepada-sesuatu-lebih-baik">
Twitter
Pinterest

 

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dilihat tidak bernasib baik apabila tewas menerusi penentuan penalti 1-3 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar ketika bertemu Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun pemain import UniKL dari Australia, Keiran Govers percaya ia adalah satu petanda yang lebih baik akan hadir untuk juara Piala TNB musim lalu itu.

“THT mendominasi separuh masa pertama dan kami mula mengawal permainan di babak kedua. Kami memperoleh peluang pada lewat permainan. Secara keseluruhan saya percaya pasukan sudah memberikan aksi terbaik,” kata Govers yang hadir sehari sebelum aksi Piala Sumbangsih bersama-sama penjaga gol dari Ireland, David Harte serta pemain Belanda, Martijn Havenga.

“Sudah tentu ia satu pengalaman yang manis jika dapat memenangi Piala Sumbangsih tetapi apapun kami tetap berjaya mengutip satu mata selepas seri 2-2 pada masa penuh.

“Tiba masanya untuk melupakan semua ini dan fokus pada baki saingan liga selepas ini,” kata pemain yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 itu yang bersara di pentas antarabangsa tahun lalu.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari dan tonggak import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meletakkan THT di depan pada minit ke-2 dan 15 sebelum Muhammad Razie Abdul Rahim mengurangkan defisit itu minit ke-30 dan menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Govers yang memenangi Trofi Juara-Juara bersama Australia pada 2010 dan 2012, Piala Dunia 2010 dan 2014 serta pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 percaya kehadiran dua pemain antarangsa Belanda, Robert Kemperman dan Valentin Verga di dalam pasukan akan memperkuatkan UniKL di saingan liga.

“Kami perlu bekerja keras dengan cuba membentuk persefahaman dan memahami corak permainan yang dimahukan,” katanya.

UniKL akan bertemu Universiti Teknologi Mara (UiTM) esok (13 Januari) di Stadium Tun Razak. 

UiTM tewas 1-4 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada perlawanan pertama liga, Jumaat lalu di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Sementara itu, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj mengesahkan bekas pemain kebangsaan, Mohamed Izad Hakimi Jamaluddin akan menggantikan tempat tonggak pertahanan, Shazrul Imran Nazli yang berdepan kecederaan Achilles.

Shazrul memerlukan tempoh antara enam bulan sehingga setahun untuk pulih sepenuhnya.

Please follow and like us:
0